Cara Mendapat Khusyuk Dalam Solat

Khusyuk dalam solat ialah hadirnya di dalam hati perasaan takut, rendah diri serta pengharapan kepada Allah, disertai dengan pergerakan badan yang tenang dan tu'maninah dan bacaan yang tartil.

Mukmin yang berjaya ialah yang khusyuk dalam solatnya. Allah SWT berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿23:1﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ‏ ﴿23:2﴾

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. [Surah Al-Mu'minuun ayat 1-2]

Solat adalah benteng yang boleh menghalang diri seseorang dari melakukan dosa dan maksiat, sebagaimana firman Allah SWT:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. [Surah Al-'Ankabuut ayat 45]


Teknik Khusyuk Dalam Solat

Berikut adalah beberapa tips mendapatkan khusyuk dalam solat, yang boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki mutu solat kita. Cubalah amalkan tips dan langkah-langkah di bawah ini, semoga berkesan.

  1. Menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hamba-Nya.
  2. Memenuhkan dada dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang melihat segala gerak-geri kita.
  3. Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Quran dan segala zikir.
  4. Sebelum mengangkat takbir, membaca surah al-Nas, selawat atas Nabi SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.
  5. Memandang ke tempat sujud dan tidak terlalu banyak menggerakkan anggota dan berpaling semasa dalam bersolat.
  6. Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.
  7. Memanjangkan sedikit tempoh semasa rukuk dan sujud.
  8. Memastikan tidak ada gangguan dalam kawasan kita bersolat.
  9. Jangan rnemandang ke kiri dan ke kanan.
  10. Sentiasa melaksanakan solat berjemaah, (yang paling afdal ialah di masjid).
  11. Menjaga makanan dan minuman agar terjamin halalnya.
  12. Membanyakkan sedekah kepada fakir miskin.
  13. Jangan bersolat dengan menangguh untuk membuang air besar atau air kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.
  14. Mengambil wuduk / air sembahyang dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota yang wajib serta mengingati niat atau doa apabila air melalui setiap anggota.
  15. Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti hendak menghadap pembesar negeri.
  16. Tempat sujud dipastikan supaya tidak ada gambar yang mengganggu fikiran atau membimbangkan hati.
  17. Mengingati mati dan kemungkinan itu merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup.

Semoga tips cara-cara bagaimana nak khusyuk dalam solat ini memberi manfaat buat semua. Untuk mengetahui penerangan lanjut mengenai teknik khusyuk dalam solat sila rujuk sini.

Untuk bacaan doa, sila layari untuk panduan doa selepas solat.

sumber: buku Indahnya Hidup Bersyariat

Click to go to top