Tarikh Mula Puasa Ramadan 2021 Malaysia

Tarikh melihat anak bulan, cara penetapan dan tarikh permulaan bulan puasa Ramadan. Berikut adalah maklumat mengenai tarikh melihat anak bulan Ramadan, tarikh mula puasa, serta info mengenai cara yang digunakan Malaysia untuk penetapan tarikh bermulanya bulan Ramadan.

Tarikh Mula Puasa Ramadhan 2021

Berdasarkan Kalendar Islam Malaysia 2021 oleh JAKIM, umat Islam dijangka memulakan puasa bulan Ramadan pada 13 April 2021.

[Baharu] Tarikh Mula Puasa Ramadhan 2022 Malaysia

Walau bagaimanapun tarikh muktamad adalah tertakluk kepada penetapan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia selepas melihat anak bulan (atau hilal dalam bahasa Arab) Ramadhan. Anak bulan akan dilihat pada petang 12 April 2021 bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah di 29 lokasi yang ditetapkan di seluruh negara.

Tarikh permulaan puasa akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia melalui radio dan televisyen selepas penetapan dibuat.

Sila layari jadual waktu imsak & berbuka puasa Ramadan 1442H/2021M untuk Malaysia dan Singapura. Layari juga Panduan Solat Sunat Tarawih Dan Witir.

Cara Penetapan Awal Ramadan

Malaysia menetapkan tarikh permulaan Ramadan berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab.

  • Rukyah

    Kaedah rukyah adalah melihat anak bulan Ramadan ketika matahari terbenam dengan mata kasar atau dengan bantuan alat-alat optik seperti teleskop dan teodolit. Ia dilaksanakan pada 29 haribulan Syaaban di 29 tempat cerapan rasmi di seluruh negara oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan peringkat negeri.

    anak bulan hilal mula puasa Ramadan

    Anak bulan (hilal) adalah bulan sabit pertama kelihatan selepas ijtimak

    Sekiranya anak bulan kelihatan, maka Ramadhan dikira sudah bermula. (Hari baru kalendar Hijriah bermula bila matahari terbenam, bukan pukul 12 tengah malam sepertimana kalendar Masihi).

    Sekiranya anak bulan tidak kelihatan, hisab (kiraan falak) akan diguna pakai.

  • Hisab

    Malaysia serta anggota MABIMS* yang lain mengguna pakai kaedah hisab Imkanur-Rukyah, iaitu penentuan masuknya awal bulan baru berdasarkan kebolehnampakan anak bulan.

    Kebolehnampakan anak bulan ditentukan dengan membandingkan kiraan kedudukan anak bulan dengan kriteria yang telah ditetapkan. Berikut adalah kriteria imkanur-rukyah yang telah dipersetujui MABIMS:

    Anak bulan dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi dua syarat berikut:

    1. Ijtimak** (conjunction) telah berlaku pada 29 haribulan sebelum matahari terbenam.
    2. (a) Ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3°.

      atau

      (b) Ketika bulan terbenam, umur anak bulan tidak kurang daripada 8 jam (sejak ijtimak berlaku).

    Sekiranya anak bulan tidak menepati kriteria imkanur-rukyah, maka bulan Syaaban digenapkan menjadi 30 hari.

* Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) merupakan suatu bentuk kesepakatan serantau yang bergerak atas dasar keagamaan bagi menjaga maslahat dan kepentingan umat Islam negara anggota.

** Ijtimak atau conjunction adalah keadaan di mana bulan dan matahari berada pada satu garis bujur dilihat dari posisi di bumi.