Panduan Penjagaan Keselamatan Dan Kesihatan Semasa Banjir

Banjir menimbulkan pelbagai ancaman kepada keselamatan dan kesihatan kepada orang awam amnya dan mangsa banjir khasnya. Adalah penting untuk anda mengenalpasti risiko-risiko yang wujud dan bertindak sewajarnya dalam menhadapi banjir. Berikut adalah panduan dan langkah penjagaan keselamatan dan kesihatan ketika banjir.


Risiko Semasa Banjir

Banjir boleh mendatangkan masalah / bahaya seperti :

  • Lemas.
  • Terdedah kepada berbagai jenis kecederaan seperti terpijak benda tajam atau terjatuh ke dalam longkang.
  • Terkena renjatan elektrik.
  • Terdedah kepada jangkitan penyakit seperti kencing tikus, taun, cirit-birit dan demam kepialu.


1. TINDAKAN SEBELUM BANJIR

Berikut adalah panduan tindakan yang perlu anda ambil bila tiba musim banjir (sebelum berlakunya banjir):


Persediaan Sebelum Banjir
  • Dapatkan maklumat terkini berkaitan banjir melalui radio, televisyen, media sosial dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
  • Pastikan lokasi Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
  • Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
  • Sediakan kit kecemasan yang mengandungi barangan keperluan seperti air
    minuman, alatan kebersihan diri, makanan dalam tin, radio yang menggunakan bateri, power bank, lampu suluh & ubat-ubatan yang diperlukan.
  • Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.
  • Pastikan telefon bimbit dalam keadaan baik walaupun di dalam musim hujan.
  • Wujudkan pelan komunikasi bagi memastikan perhubungan tidak terjejas sekiranya terputus hubungan.

Sebelum Banjir – Bila Tanda-Tanda Awal Banjir Telah Dikesan

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil jika tanda-tanda awal banjir telah dikesan di kawasan anda.

  • Dengar melalui pengumuman radio, televisyen, media sosial atau pihak yang berkenaan.
  • Pindahkan perkakas elektrik, perabot atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
  • Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
  • Bersedia untuk menutup semua suis bekalan elektrik, injap utama bekalan air dan gas.
  • Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.


2. TINDAKAN SEMASA BANJIR

Berikut adalah panduan tindakan yang perlu anda ambil bila berlakunya banjir:


Semasa Banjir – Di Dalam Rumah
  • Dengar pengumuman terkini dari agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah melalui radio, televisyen atau media sosial.
  • Bersedia dengan kit kecemasan.
  • Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.

Semasa Banjir – Di Luar Rumah
  • Jauhi tempat-tempat yang dilanda banjir.
  • Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
  • Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
  • Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
  • Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
  • Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main air banjir, terutamanya di longkang, sungai atau lombong.
  • Jangan minum air banjir.

Semasa Banjir – Di Dalam Kenderaan
  • Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.
  • Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat.

Semasa Banjir – Di Pusat Pemindahan

Sekiranya anda diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir, berikut adalah beberapa tips penjagaan kesihatan ketika berada di sana:

  • Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.
  • Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
  • Ikut laluan yang ditentukan, yang berkemungkinan laluan singkat mungkin terhalang.
  • Patuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.
  • Minum air masak atau air minuman berbungkus seperti air botol sekiranya tiada air bersih.
  • Makan makanan yang telah dimasak sahaja. Elakkan memakan makanan mentah seperti sayur-sayuran yang belum dimasak dan ulam-ulaman.
  • Tudung semua makanan dan jangan makan makanan yang terdedah.
  • Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling:
    • Basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas.
    • Guna tandas yang sempurna.
    • Buang sampah di tempat yang betul.
  • Dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami cirit-birit dan muntah-muntah.

panduan keselamatan dan kesihatan banjir


3. TINDAKAN SELEPAS BANJIR

Berikut adalah panduan tindakan yang perlu anda ambil selepas banjir:

  • Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak yang berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
  • Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
  • Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mungkin tidak selamat.
  • Jangan terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air, anda perlu berhati-hati kerana banyak bahaya yang tersembunyi.

Selepas Banjir – Semasa Memasuki Bangunan
  • Sentiasa pakai kasut.
  • Periksa kerosakan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
  • Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang berbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
  • Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.

Selepas Banjir – Periksa Ancaman Bahaya
  • Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
  • Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.
  • Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
  • Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
  • Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
  • Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
  • Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.
  • Buat laporan kepada JKM bagi mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan.

    Semoga panduan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan di musim banjir ini berguna untuk semua.

    Click to go to top