Maksud Warna Dan Lambang Bendera Malaysia Jalur Gemilang

Bendera Malaysia yang digunakan sekarang diperkenalkan pada bulan Mei tahun 1950. Namanya ditukar kepada Jalur Gemilang pada tahun 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara ke-40.

Jalur Gemilang mengandungi 14 jalur melintang yang berwarna merah dan putih berselang seli. Jalur bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Di sudut kiri atas terdapat petak berwarna biru tua dan di dalamnya mengandungi anak bulan / bulan sabit dan bintang pecah 14 bucu.

Maksud Nama JALUR GEMILANG

  • JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Ia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju dan arah yang sama yang dianuti oleh seluruh rakyat dari setiap negeri di negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
  • GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam dalam semua bidang, serta kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara.

Bendera Malaysia Jalur Gemilang

Maksud Warna Dan Lambang Pada Jalur Gemilang

  • BIRU TUA - melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bersatu padu dan berusaha dalam memajukan pembangunan ekonomi negara.
  • KUNING – adalah warna Diraja. Ia melambangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.
  • MERAH – gagah berani dan bersedia dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
  • PUTIH – kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan rakyat yang beradab dan berkeperibadian Malaysia.
  • 14 JALUR - 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar menandakan keanggotaan yang sama dalam persekutuan bagi 13 buah negeri anggota (iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka) dan Wilayah Persekutuan (WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan WP Labuan).
  • BULAN SABIT - Melambangkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan negara.
  • BINTANG 14 BUCU - Melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Fakta Makna Bendera Malaysia Jalur Gemilang

Maksud lambang dan warna pada Jalur Gemilang

Semoga maklumat mengenai Bendera Malaysia Jalur Gemilang ini memberi manfaat buat rakyat Malaysia dalam mengenali dan memahami bendera kebanggaan kita, Jalur Gemilang.