Tips Balik Kampung Di Musim Perayaan

|  0 comments

Balik kampung untuk merayakan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau Deepavali bersama keluarga dan saudara-mara sudah menjadi satu tradisi tahunan di Malaysia. Namun begitu amatlah malang sekali sekiranya perjalanan pulang yang penuh ceria bertukar menjadi tragedi disebabkan anda terlibat dalam kemalangan jalanraya.

Berikut disenaraikan beberapa tip untuk panduan anda sebagai pemandu atau penunggang motosikal agar perjalanan anda lancar dan selamat.


Rancang perjalanan terlebih dahulu

  • Tetapkan tarikh. Laporkan kepada polis sekiranya rumah anda akan ditinggalkan kosong semasa balik kampung.
  • Rancang jalan mana yang hendak diikuti. Ambil kira laluan alternatif dalam membuat pilihan. Kalau boleh elakkan jalan-jalan yang berisiko tinggi.
  • Tetapkan masa yang sesuai untuk memulakan perjalanan (untuk mengelakkan kesesakan) dan di mana hendak berhenti untuk rehat atau isi minyak.
  • Dapatkan rehat/tidur secukupnya sebelum bertolak - jangan memandu dalam keadaan mengantuk.
  • Bawa bekal makanan dan minuman jika perlu.


Pastikan kereta berkeadaan baik

  • Pastikan keadaan brek, lampu brek & lampu isyarat dan wiper berfungsi dengan baik.
  • Pastikan tekanan angin tayar dan tayar spare cukup.
  • Laraskan kerusi pemandu, cermin pandang belakang dan cermin sisi demi keselesaan anda sebagai pemandu.

naik kereta balik kampung


Pakai tali pinggang keledar

  • Secanggih manapun kereta anda, ia tidak akan mampu menyelamatkan anda jika anda tidak menggunakan alat keselamatan yang tersedia. Jika kereta anda dilengkapi beg udara sekalipun, ia tidak akan berguna sekiranya tali pinggang keledar tidak dipakai.
  • Pakai tali pinggang keledar tidak kira samada anda duduk di tempat duduk depan atau belakang.


Tumpukan perhatian semasa memandu

  • Jangan memandu dalam keadaan mengantuk.
  • Sebolehnya jangan memandu berseorangan. Dapatkan “co-pilot”. Tugas utama co-pilot ialah memastikan anda memandu dengan selamat dan tidak terlelap semasa memandu.
  • Tumpukan perhatikan sehingga tiga kenderaan di hadapan anda. Ini akan mempercepatkan tindakan anda terhadap apa yang berlaku di hadapan.


Pandu dengan kelajuan yang sesuai

  • Patuhi halaju lebuhraya. Memandu melebihi halaju mengundang bahaya, dan mengundang saman.
  • Kelajuan yang sesuai juga adalah berdasarkan situasi dan cuaca.
  • Perlahankan kereta bila mengambil selekoh, jalan berbukit atau ketika hujan.
  • Elakkan daripada mengekori kenderaan lain dalam jarak terlalu dekat.
  • Jangan memotong jika teragak-agak atau jika kereta anda tidak cukup kuasa untuk memecut.
  • Jangan memandu terlalu perlahan sehingga mengganggu kelancaran trafik.


Patuhi undang-undang jalanraya

  • Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong.
  • Berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning.
  • Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan.
  • Elakkan mencelah antara kenderaan lain kerana ia membahayakan keselamatan anda dan orang lain.
  • Ingat keselamatan anda dan juga pengguna jalanraya yang lain bergantung kepada kepatuhan anda kepada undang-undang jalanraya.


Peringatan untuk penunggang dan pembonceng motosikal

  • Pakai topi keledar yang diluluskan SIRIM dan ketatkan tali topi keledar.
  • Pemakai baju berwarna cerah atau jaket pemantul cahaya supaya mudah dilihat oleh pengguna jalanraya lain.

Anda selaku pemandu atau penunggang bertanggungjawab ke atas keselamatan anda dan juga penumpang. Anda juga bertanggungjawab untuk tidak membahayakan pengguna jalanraya yang lain semasa berada di jalanraya.

Semoga panduan di atas dapat membantu anda memandu dengan lancar dan selesa dan sampai ke destinasi dengan selamat.

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Cancel