Panduan Solat Hari Raya Aidilfitri Dan Aidiladha

Solat sunat hari raya puasa (Aidilfitri) dan solat sunat hari raya haji (Aidiladha) hukumnya sunat Muakkad (sangat digalakkan). Segala rukun, syarat serta sunatnya adalah sama seperti solat biasa. Cuma ditambahkan dengan bertakbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara setiap takbir.

Baca juga Lafaz Takbir Raya Aidilfitri Dan Aidiladha.

Sembahyang sunat hari raya dikerjakan pada hari raya pertama iaitu pada 1 Syawal bagi solat sunat Aidilfitri dan 10 Zulhijjah bagi solat sunat Aidiladha. Waktu mengerjakannya ialah antara ketika mula terbit matahari sekadar segalah hingga tergelincirnya matahari.

Solat Aidilfitri sunat dilewatkan untuk memberi lebih masa untuk pengeluaran zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdal dikeluarkan sebelum solat hari raya Aidilfitri). Manakala solat Aidiladha sunat disegerakan bagi memberi keluasan waktu untuk ibadah korban. Solat sunat hari raya lebih afdal dikerjakan secara berjemaah di masjid atau di kawasan lapang/ padang terbuka.

Memandangkan kita sekarang ini masih berada dalam tempoh PKPB akibat wabak COVID-19 (yang mana orang ramai tidak dibenarkan bersolat hari raya di masjid), solat hari raya boleh dilaksanakan di rumah. Pejabat Mufti Wilayah ada menjelaskan berkenaan hukum hakam serta kaifiat pelaksanaan solat hari raya di rumah.
Contoh khutbah solat hari raya boleh ditonton di sini.

Lafaz Niat Solat Sunat Hari Raya Dan Tasbih

Berikut adalah lafaz niat solat sunat aidilfitri, solat sunat aidiadha dan tasbih berserta makna.

  • Lafaz niat solat sunat aidilfitri (untuk makmum)

    أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

    Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

  • Lafaz niat solat sunat aidiladha (untuk makmum)

    اُصَلِّىْ سُنَّةَ عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

    Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

  • Lafaz tasbih

    سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلآ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ

    Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar.

Cara Menunaikan Solat Sunat Aidilfitri / Aidiladha

⦿ Rakaat Pertama

  1. Mulai dengan lafaz takbiratul ihram, dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat solat aidilfitri/aidiladha di dalam hati.
  2. Membaca doa iftitah.
  3. Lafaz takbir tujuh kali diselangselikan dengan bacaan tasbih.
  4. Membaca surah Al-Fatihah.
  5. Membaca surah Al-Quran (disunatkan membaca surah Al-A’laa).
  6. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama.

⦿ Rakaat kedua

  1. Mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
  2. Lafaz takbir lima kali diselangselikan dengan bacaan tasbih.
  3. Membaca surah Al-Fatihah.
  4. Membaca surah Al-Quran (disunatkan dalam rakaat kedua membaca surah Al-Ghaasyiyah).
  5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua.
  6. Memberi salam.

Khutbah Aidilfitri / Aidiladha

Khutbah solat hari raya sunat dilaksanakan selepas mengerjakan solat Hari Raya. Khutbah Aidilfitri dan Aidiladha sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya. Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.

Sumber: sini dan sini