Pendaftaran Pemilih / Pengundi Pilihan Raya

Mengundi di dalam pilihan raya adalah hak dan tanggungjawab anda sebagai warganegara Malaysia. Namun untuk melayakkan diri sebagai pengundi, anda hendaklah mendaftar sebagai pemilih / pengundi terlebih dahulu.

Berikut dikongsikan maklumat mengenai syarat kelayakan, pusat pendaftaran, dan juga cara mendaftar sebagai pemilih.


Syarat Kelayakan Untuk Mendaftar Sebagai Pemilih

Syarat-syarat kelayakan untuk mendaftar sebagai pengundi adalah seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia
  • Telah mencapai umur 21 tahun
  • Bermastautin di bahagian pilihan raya yang ingin didaftarkan; dan
  • Tidak dihalang / hilang kelayakan oleh undang-undang yang berkuat kuasa.


Tempat Mendaftar Sebagai Pemilih

Berikut adalah senarai Pusat Pendaftaran Pemilih yang anda boleh kunjungi sepanjang tahun untuk mendaftar sebagai pengundi / pemilih.

  • Ibu Pejabat SPR di Putrajaya
  • Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara
  • Pejabat Pos Berkomputer di seluruh negara
  • Pejabat Daerah / Pejabat Majlis Daerah
  • Tempat-tempat awam seperti pasar malam, pasaraya atau taman-taman perumahan yang dikunjungi oleh Out-Reach Team SPR (di masa-masa tertentu sahaja).

Cara mendaftar sebagai pengundi pilihan raya pilihan raya


Cara Untuk Mendaftar Sebagai Pengundi

Langkah-langkah untuk mendaftar sebagai pemilih biasa adalah seperti berikut:

  1. Datang sendiri ke mana-mana pusat pendaftaran. Tiada perhidmatan pendaftaran pengundi secara online disediakan.
  2. Serahkan kad pengenalan anda kepada petugas yang akan mengisikan borang pendaftaran anda (Borang A).
  3. Semak borang pendaftaran yang telah diisikan oleh petugas dan pastikan semua maklumat yang diisi adalah betul.
  4. Turunkan tandatangan anda selepas berpuas hati.
  5. Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti.

Untuk pendaftaran pengundi tidak hadir dan warganegara Malaysia yang berada di luar negara sila rujuk laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

Proses penambahan pemilih baru ke dalam daftar pemilih mengambil masa paling lama 4 bulan selepas pendaftaran dibuat.

Sila buat semakan daftar pemilih untuk memastikan anda tersenarai sebagai pengundi/pemilih yang sah. Semakan daftar pemilih boleh dibuat secara online atau SMS.

Sumber: Laman web SPR

Click to go to top