Golongan Asnaf Yang Berhak Menerima Zakat

Golongan asnaf yang layak menerima zakat. Siapa yang layak menerima zakat dalam Islam? Adakah zakat untuk orang miskin sahaja? Bagaimana pula dengan anak yatim, janda / ibu tunggal, OKU, pelajar dan warga emas?

Yang pasti hanya lapan golongan asnaf yang layak dan berhak menerima zakat. Sekiranya seseorang individu anak yatim / ibu tunggal / OKU / pelajar / warga emas tersebut termasuk dalam kalangan asnaf yang lapan, maka dia layak menerima zakat. Sekiranya tidak termasuk dalam asnaf yang lapan, maka dia tidak layak menerima zakat.

Asnaf yang lapan ini ada dinyatakan di dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at -Taubah ayat 60:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. [Surah At-Taubah 9:60]


8 Golongan Asnaf Yang Layak Menerima Zakat

asnaf layak terima zakat

Berikut adalah penerangan mengenai 8 golongan asnaf yang layak menerima zakat.

  1. FAKIR
    Asnaf fakir ialah orang Islam yang tiada harta atau pendapatan, atau ada harta atau pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah dirinya dan tanggungannya. Had kifayah (had kecukupan) merujuk kepada kadar minima bagi keperluan asas dalam kehidupan seseorang, yang dinilai berdasarkan 6 aspek keperluan asas iaitu perlindungan, makanan, pakaian, perubatan, pendidikan dan pengangkutan.
  2. MISKIN
    Asnaf miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lebih 50 peratus keperluan dirinya dan tanggungannya tetapi masih belum mencecah had kifayah*.
  3. AMIL
    Amil (pengurus zakat) ialah individu atau institusi yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada dalam mengurus dan mentadbir hal ehwal pungutan, pengagihan atau yang mengawasi urusan kewangan zakat. Di Malaysia, amil dilantik oleh setiap Majlis Agama Islam Negeri.
  4. MUALLAF
    Mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya) ianya dibahagi kepada dua iaitu:
    1. Beragama Islam
      + Baru memeluk agama Islam
      + Ketua-ketua kaum yang memeluk Islam yang baik hubungan dengan ketua-ketua bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya.
      + Ketua-ketua kaum yang memeluk Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh orang- orang di bawah pimpinannya.
      + Orang-orang yang memeluk Islam yang tinggal di perbatasan yang berhampiran dengan negara musuh.
    2. Bukan beragama Islam
      + Boleh dipujuk supaya masuk Islam.
      + Boleh dipujuk supaya tidak merbahaya kepada orang Islam.
  5. AL-RIQAB
    Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu. 
  6. AL-GHARIMIN
    Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak.
  7. FISABILILLAH
    Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam aktiviti yang menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.
  8. IBNU SABIL
    Mana-mana musafir Islam yang tidak mempunyai bekalan (perbelanjaan) untuk memulakan perjalanan atau terputus bekalan (perbelanjaan) dalam perjalanan bagi tujuan yang diharuskan oleh syarak.

Semoga maklumat mengenai golongan-golongan yang layak menerima zakat ini bermanfaat buat umat para pembaca beragama Islam.

*Had kifayah berbeza mengikut negeri. Sila rujuk dengan institusi zakat negeri masing-masing untuk pengiraan had kifayah.

Sumber: Takrif Asnaf MAIWP