Semakan Daftar Pemilih Pilihan Raya Online Dan SMS

Cara membuat semakan daftar pemilih SPR 2022. Musim mengundi tiba lagi - pilihanraya umum ke 15 (PRU15) akan diadakan pada 19 November 2022. Inilah peluang anda rakyat Malaysia menunaikan hak dan kewajiban sebagai pengundi berdaftar untuk memilih pemimpin serta parti politik yang akan mewakili aspirasi anda.

Pengundi berdaftar boleh menyemak daftar pemilih SPR untuk mengesahkan lokasi tempat mengundi serta maklumat lain daftar undi secara online, melalui khidmat SMS, aplikasi mudah alih atau secara manual. Semakan daftar pemilih atau semakan tempat mengundi boleh dilakukan bila-bila masa, sepanjang tahun.

Nota: Mulai 15 Disember 2021, pendaftaran pemilih baharu adalah secara automatik bagi semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang layak.

Semakan Daftar Pemilih Secara Online

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menyediakan satu laman web yang membolehkan anda menyemak daftar pemilih yang telah disahkan secara atas talian. Cara membuat semakan online adalah seperti berikut:

⦿ Semakan Daftar Pemilih

  1. Layari laman web Semakan Daftar Pemilih SPR di alamat:

    https://mysprsemak.spr.gov.my/

  2. Tekan pilihan "Semakan Daftar Pemilih".
  3. Masukkan nombor kad pengenalan pengundi berdaftar ke dalam kotak yang disediakan.
  4. semakan daftar pemilih tempat mengundi spr online

  5. Masukkan aksara captcha, kemudian klik butang "Semak".

Antara maklumat yang dipaparkan dalam keputusan semakan ialah nama, tarikh lahir, jantina, lokaliti, daerah mengundi, Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen, negeri pemilih, pusat mengundi serta saluran.

Penentuan kawasan pendaftaran adalah berdasarkan alamat pada kad pengenalan.

Semak Daftar Pemilih Melalui SMS

Langkah-langkah membuat semakan daftar pemilih melalui perkhidmatan SMS menggunakan telefon bimbit adalah seperti berikut:

semakan daftar pemilih SMS

  1. Taipkan mesej:

    SPR<jarak>[No. Kad Pengenalan]

    Contoh: SPR   871114035243

  2. Hantarkan SMS ke 15888

Atau:

  1. Taipkan mesej:

    SPR<jarak>SEMAK<jarak>[No. Kad Pengenalan]

    Contoh: SPR  SEMAK  871114035243

  2. Hantarkan SMS ke 15888

Anda akan dicaj 15 sen untuk setiap penghantaran dan 20 sen untuk setiap penerimaan mesej.

Semakan Daftar Pemilih Menggunakan Aplikasi Mudah Alih

Semakan boleh dibuat dengan menggunakan aplikasi mudah alih MySPR Semak yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play, Apple App Store atau Huawei AppGallery.

Selain semakan daftar pemilih, aplikasi ini juga menyediakan kemudahan untuk menyemak nama calon yang bertanding dan juga keputusan pilihan raya.

Semakan Daftar Pemilih Secara Manual

Pemilih berdaftar juga boleh membuat semakan secara manual di Ibu Pejabat Pilihan Raya SPR Malaysia dan Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Semoga panduan cara membuat semakan daftar pemilih di atas bermanfaat buat para pengundi terutama sekali pengundi baharu yang akan membuang undi buat kali pertama. Selamat mengundi!