Cara Daftar ADAM50 (Amanah Dana Anak Malaysia 2050)

Cara mendaftar untuk menyertai ADAM50. Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) merupakan satu program baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada semua bayi warganegara Malaysia, yang lahir dalam tempoh masa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Bayi yang berdaftar dengan skim ADAM50 akan dihadiahkan dana tabungan percuma bernilai RM200 sebagai modal pelaburan permulaan. Dana dalam bentuk unit insentif percuma ini akan dikreditkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) bagi bayi bukan Bumiputera.


Syarat Kelayakan ADAM50

Kriteria–kriteria kelayakan bagi ADAM50 adalah seperti berikut:

  • Lahir dalam tempoh masa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.
  • Warganegara Malaysia.
  • Ibu/bapa atau Penjaga Berdaftar berwarganegara Malaysia dan berumur 18 tahun dan ke atas semasa pendaftaran dilakukan.

Amanah Dana Anak Malaysia 2050 ADAM50


Cara Mendaftar Untuk Menyertai ADAM50

Ibu bapa atau penjaga berdaftar perlu datang ke mana-mana cawangan ASNB atau ejen ASNB (Maybank, Maybank Islamic, CIMB, CIMB Islamic, RHB, RHB Islamic, Pos Malaysia, Affin Bank, AmBank dan AmBank Islamic) di seluruh negara untuk mendaftar ADAM50.

Pendaftaran hendaklah dilakukan dalam tempoh maksimum setahun selepas tarikh lahir bayi tersebut.

Dokumen yang perlu dibawa semasa pendaftaran adalah seperti berikut:

  • Dokumen pengenalan diri (MyKad) ibu/ bapa/ penjaga berdaftar.
  • Dokumen pengenalan diri (MyKid) bayi atau Sijil Kelahiran (sekiranya MyKid masih belum diterima).
  • Sebarang dokumen sokongan seperti Surat Pertalian Darah, perintah mahkamah dan lain-lain jika penjaga berdaftar bukan dalam kalangan ibu atau bapa bayi.


Ciri-ciri Lain Program ADAM50

  • Pelaburan tambahan ke dalam akaun bayi adalah dibenarkan sehingga had maksimum yang ditentukan iaitu had terkini Akaun Bijak/Remaja ASB bagi Bumiputera dan had 50,000 unit ditetapkan untuk AS 1Malaysia bagi bukan Bumiputera.
  • Unit insentif dan semua pendapatan yang diperolehi dari unit insentif ini hanya boleh dikeluarkan setelah anak mencapai usia 18 tahun.

Semoga maklumat pendaftaran Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) ini bermanfaat untuk semua.

Sumber: ASNB

Click to go to top