Cara Daftar Pemilih Untuk Mengundi Pilihan Raya

Mengundi di dalam pilihan raya adalah hak dan tanggungjawab anda sebagai warganegara Malaysia. Tanpa mengira parti politik mana yang anda sokong, anda hendaklah mendaftar sebagai pemilih / pengundi terlebih dahulu untuk melayakkan untuk mengundi.

Pendaftaran pemilih boleh dilakukan di Pusat Pendaftaran Pemilih dan juga boleh dilakukan secara online.

Mereka yang sudah mendaftar sebelum ini dinasihatkan untuk melakukan semakan daftar pemilih untuk mengesahkan lokasi pusat serta saluran mengundi. Semakan boleh dilakukan secara online, menggunakan aplikasi mudah alih, melalui SMS dan juga melalui telefon.

Berikut dikongsikan maklumat mengenai syarat kelayakan, pusat pendaftaran, dan juga cara mendaftar sebagai pemilih.


Syarat Kelayakan Untuk Mendaftar Sebagai Pemilih

Syarat-syarat kelayakan untuk mendaftar sebagai pengundi adalah seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia
  • Telah mencapai umur 21 tahun
  • Bermastautin di bahagian pilihan raya yang ingin didaftarkan; dan
  • Tidak dihalang / hilang kelayakan oleh undang-undang yang berkuat kuasa.


Tempat Mendaftar Sebagai Pemilih

Berikut adalah senarai Pusat Pendaftaran Pemilih yang anda boleh kunjungi sepanjang tahun untuk mendaftar sebagai pengundi / pemilih.

  • Kaunter Pendaftaran Pemilih, Ibu Pejabat SPR di Putrajaya
  • Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara
  • Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara
  • Kaunter SPR yang dibuka melalui Program Outreach di kawasan tumpuan orang ramai (di masa-masa tertentu sahaja)
  • Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR

Cara mendaftar sebagai pengundi pilihan raya pilihan raya


Cara Untuk Mendaftar Sebagai Pemilih

Langkah-langkah untuk mendaftar sebagai pemilih/pengundi biasa adalah seperti berikut:

  1. Datang sendiri ke mana-mana pusat pendaftaran.
  2. Serahkan kad pengenalan anda kepada petugas yang akan mengisikan borang pendaftaran anda (Borang A).
  3. Semak borang pendaftaran yang telah diisikan oleh petugas dan pastikan semua maklumat yang diisi adalah betul.
  4. Turunkan tandatangan anda selepas berpuas hati.
  5. Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti.

Untuk pendaftaran pengundi tidak hadir dan warganegara Malaysia yang berada di luar negara sila rujuk laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia di sini.


Pendaftaran Pemilih Online

Pendaftaran pemilih kini boleh dilakukan secara dalam talian. Ia boleh dibuat dengan melayari laman MySPR Daftar - Sistem Pendaftaran Pemilih Atas Talian (SPPAT) Suruhanjaya Pilihan Raya.

Langkah-langkah untuk mendaftar sebagai pemilih adalah secara online seperti berikut:

1. Memohon Akaun Pengguna
  1. Layari laman MySPR Daftar di pautan berikut:

    https://mysprdaftar.spr.gov.my/

    Skrin Log Masuk MySPR Daftar akan dipaparkan.

  2. Tekan butang "PERMOHONAN AKAUN BARU". Skrin akan memaparkan borang Permohonan Akaun Pengguna.
  3. Isi maklumat pemohon seperti yang diminta dalam borang.
  4. Muat naik gambar MyKad dan swafoto dengan MyKad.
  5. Hantar.

2. Aktifan Akaun Pengguna

Setelah pegawai SPR membuat pengesahan, satu emel pengaktifan akan dihantar ke e-mel yang didaftar.

  1. Buka e-mel pengaktifan yang dihantar oleh MYSPRDaftar.
  2. Klik pada link pengaktifan yang diberikan untuk mengaktifkan akaun. Skrin Pengaktifan Akaun akan dipaparkan.
  3. Masukkan nombor kad pengenalan, kata laluan dan TAC untuk verifikasi.
  4. Setelah akaun diaktifkan, skrin Log Masuk MySPR Daftar akan dipaparkan bersama mesej "TAHNIAH AKAUN PENGGUNA TUAN/PUAN TELAH BERJAYA DIAKTIFKAN".

3. Isi Borang A (Pendaftaran Pemilih)
  1. Log masuk MySPR Daftar.
  2. Klik pada butang "BORANG A" untuk membuat pendaftaran baru atau membuat pertukaran alamat.
  3. Isi maklumat pemohon dan saksi seperti yang diminta dalam Borang A.
  4. Hantar dengan TAC.

Proses penambahan pemilih baru ke dalam daftar pemilih mengambil masa paling lama 4 bulan selepas pendaftaran dibuat.

Semoga perkongsian maklumat tentang cara melakukan pendaftaran pemilih ini berguna buat warganegara Malaysia yang belum mendaftar, khususnya anak-anak muda yang belum pernah mengundi dalan pilihan raya.

Sumber: Laman web SPR