Adab Berpuasa Bulan Ramadan

Puasa bukanlah sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT samada berupa iktikad, perbuatan atau pertuturan.

Bulan Ramadan adalah bulan yang diberkati di mana pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan diikat. Untuk mencapai ganjaran yang lengkap dan mencapai manfaat yang paling banyak, kita bukan sahaja harus memenuhi kewajiban Ramadan tetapi juga berusaha untuk menyempurnakan adabnya.


Adab Puasa Ramadan Berdasarkan Hadis Nabi

Berikut adalah adab-adab berpuasa di bulan Ramadan sepertimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.


  1. Mengamalkan makan sahur

    Perkataan sahur yang digunakan dalam bahasa Melayu berasal daripada perkataan bahasa Arab “suhur” yang bererti perbuatan bangun sebelum fajar untuk makan. Perkataan sahur sebenarnya merujuk kepada makanan yang dihidangkan ketika bersuhur.

    ⦿ Bersahur adalah merupakan amalan sunat berdasarkah hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:

    "Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya sahur (makanan) itu ada keberkatan." [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

    Daripada Amru bin Al-‘As RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

    “Perbezaan diantara puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu adalah makan sahur.” [Hadis Riwayat Muslim]

    ⦿ Makanan terbaik untuk sahur ialah kurma kering.

    Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    “Sebaik-baik makanan ketika seseorang mukmin bersahur adalah tamar (kurma kering.” [Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban]

    ⦿ Bersahur tidak semestinya dengan makanan. Sesorang itu sudah dikira bersahur walaupun dengan minum seteguk air.

    Sabda Nabi SAW maksudnya:

    “Bersahurlah walaupun hanya dengan meminum seteguk air.” [Hadis Riwayat Abu Ya’la dan Ibnu Hibban]


  2. Melewatkan makan sahur

    Amr bin Maimun Al-Audi meriwayatkan:

    “Para sahabat Rasulullah SAW adalah orang yang paling cepat berbukanya dan paling lambat sahurnya.” [Hadis Riwayat Al-Baihaqi]

    Melewatkan waktu sahur bermaksud makan sahur hampir dengan waktu penamatnya. Waktu tamat sahur ialah bila masuknya waktu Subuh, dan bukannya waktu Imsak. Waktu Imsak hanyalah waktu berjaga-jaga/peringatan 10 minit sebelum masuk waktu Subuh, menandakan waktu sahur hampir tamat.

    adab puasa ramadan


  3. Menyegerakan berbuka puasa apabila masuk waktunya

    Menyegerakan atau tidak melengahkan berbuka puasa bila masuk waktu berbuka yakni bila terbenam matahari.

    Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    “Allah SWT berfirman: Hamba yang paling Aku kasihi ialah mereka yang paling segera berbuka.” [Hadis Riwayat at-Tirmizi]


  4. Makanan berbuka puasa mengikut sunnah

    Rasulullah SAW mendahulukan rutob yakni kurma basah untuk berbuka puasa. Kalau tiada kurma basah, baginda berbuka dengan tamar (kurma kering). Jika tiada tamar, baginda berbuka dengan meminum air.

    “Adalah Rasulullah SAW berbuka dengan rutob (kurma basah), jika tidak ada ruthab maka berbuka dengan tamar (kurma kering), jika tidak ada tamar maka dengan minum beberapa teguk air.” [Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Baihaqi]


  5. Bermurah hati, banyak menderma dan berbuat kebajikan, dan banyak membaca Qur’an

    Umat Islam digalakkan supaya membanyakkan bersedekah dan membaca Al-Qur'an dalam bulan Ramadhan. Ganjaran pahala sedekah di bulan Ramadan adalah berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

    Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik sebagai seorang yang dermawan, khususnya pada bulan Ramadan.

    Dari Ibnu Abbas RA, katanya:

    “Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah, dan dia mencapai puncak kemurahan pada bulan Ramadan ketika Jibril mengunjunginya. Jibril sering berjumpa dengan Baginda setiap malam di bulan Ramadan untuk bertadarus Al-Qur'an. Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah, bahkan lebih pemurah daripada angin yang bertiup (sangat ringan dan cepat berbuat kebajikan).” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]


  6. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadan

    ⦿ Pada 10 hari terakhir Ramadan, Rasulullah SAW menjauhkan diri dari menggauli isteri-isteri baginda dan menghidupkan malam dengan beribadah.

    “Adalah Rasulullah SAW jika telah masuk sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, beliau mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya), menghidupkan malamnya, dan membangunkan keluarganya.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

    ⦿ Baginda Rasulullah SAW banyak menghidupkan malam-malam sepuluh terakhir dengan pelbagai ibadah. Diriwayatkan dari Aisyah berkata:

    “Pada sepuluh terakhir bulan Ramadan Rasulullah SAW lebih giat beribadah melebihi hari-hari selainnya.” [Hadis Riwayat Muslim]

    ⦿ Salah satu sebab kita perlu menggandakan ibadah dan sedekah pada 10 hari terakhir Ramadan ialah kerana dalam tempoh waktu inilah adanya malam Lailatul Qadar. Malam Lailatul Qadar merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan.

    Aisyah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda:

    “Carilah malam Lailatul Qadar di malam-malam ganjil pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

    ⦿ Rasulullah SAW mengajarkan satu doa kepada Aishah RA untuk dibaca di malam Lailatul Qadar.

    Daripada Aisyah RA, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:

    “Wahai Rasulullah, apa pandanganmu jika aku mengetahui salah satu malam-malam itu adalah malam Lailatul Qadar, apa yang perlu aku sebut (berdoa) pada malam itu?”. Baginda menjawab: “Sebutlah (berdoalah): Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau sukakan kemaafan, maka maafkanlah aku’.” [Hadis Riwayat Ibnu Majah, at-Tirmizi dan an-Nasa’i].


  7. Mengelakkan mengumpat, berbohong, bercakap kosong dan mencela

    Memelihara lidah daripada bercakap kotor, berbual kosong, berbohong, mengumpat, membuat fitnah, memaki dan menimbulkan permusuhan.

    Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:

    “Puasa adalah perisai. Maka janganlah bercakap kotor atau menengking. Dan apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau mencacinya, maka katakanlah ‘aku sedang puasa’, sebanyak dua kali.” [Hadis Riwayat Muslim]


  8. Memberi makan berbuka untuk orang yang berpuasa

    Untuk dapatkan fadhilat ini, tidak semestinya kita memberi makan kepada orang miskin sahaja, orang yang tidak susah atau orang kaya pun boleh.

    Daripada Zaid bin Khalid RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

    “Barangsiapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang puasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi walau sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” [Hadis Riwayat at-Tirmizi dan an-Nasa’i]


  9. Mendirikan malam dengan solat sunat (solat Tarawih)

    Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya,

    “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari Allah, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sama-samalah kita berusaha sebaik mungkin untuk menjaga adab puasa, agar puasa kita pada Ramadhan tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya. Semoga Allah SWT menerima ibadah puasa kita, dan berkenan membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran.

Click to go to top