Makna Golongan B40, M40 Dan T20

Apa yang dimaksudkan dengan B40, M40 dan T20? Istilah-istilah ini digunakan oleh kerajaan untuk membahagikan rakyat Malaysia kepada kumpulan atau golongan berdasarkan pendapatan isi rumah*.

B40, M40 dan T20 adalah masing-masing singkatan kepada Bottom 40%, Middle 40% dan Top 20%. % (peratus) dalam istilah ini merujuk kepada nisbah bilangan isi rumah setiap kumpulan berbanding jumlah keseluruhan bilangan isi rumah (household) di Malaysia (yang mewakili keseluruhan penduduk Malaysia).

Untuk menentukan julat pendapatan bagi setiap kumpulan, setiap isi rumah di senaraikan mengikut pendapatan, bermula dengan isi rumah yang berpendapatan paling tinggi diletakkan di kedudukan paling atas sehinggalah isi rumah yang berpendapatan paling rendah di kedudukan paling bawah. Kemudian barulah jumlah isi rumah ini dibahagi kepada tiga bahagian iaitu bahagian 20% paling atas, 40% pertengahan dan 40% paling bawah.


Definisi Kumpulan Pendapatan B40, M40 Dan T20

Takrif isi rumah mengikut kumpulan pendapatan T20, M40 dan B40 yang diguna pakai di Malaysia adalah seperti berikut:

  • T20 (Top 20%) ialah golongan berpendapatan tingggi. T20 merujuk kepada 20% isi rumah di Malaysia yang berada pada kedudukan teratas dari aspek pendapatan isi rumah (berpendapatan tertinggi). Isi rumah yang tergolong dalam M40 ialah yang berpendapatan purata melebihi RM8,319 sebulan.**

  • M40 (Middle 40%) ialah golongan berpendapatan sederhana. M20 merujuk kepada 40% penduduk Malaysia yang berada pada kedudukan pertengahan dari aspek pendapatan isi rumah (berpendapatan pertengahan). Mereka yang termasuk dalam golongan M40 ialah yang berpendapatan isi rumah purata di antara RM3,860 hingga RM8,319 sebulan.**

  • B40 (Bottom 40%) ialah golongan berpendapatan rendah. B20 merujuk kepada 40% penduduk Malaysia yang berada pada kedudukan paling bawah dari aspek pendapatan isi rumah (berpendapatan terendah). Isi rumah yang tergolong dalam kumpulan M40 ialah yang berpendapatan purata kurang daripada RM3,860 sebulan.**

  • Kumpulan isi rumah B40 juga merangkumi isi rumah Miskin yang berpendapatan bulanan kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM950 dan Miskin Tegar yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM580.

Diharap info mengenai definisi B40, M40 dan T20 ini menjawab persoalan apakah yang dimaksudkan dengan kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 yang sering disebut-sebut oleh para menteri dan media massa.

* Isi Rumah ditakrifkan sebagai seseorang atau sekumpulan orang yang bersaudara atau orang yang tidak bersaudara yang biasanya tinggal bersama dan membuat peruntukan yang sama untuk makan dan keperluan hidup yang lain.

** Statistik berdasarkan kepada Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (PPPIR) 2014. Jumlah pendapatan bagi setiap gologan akan berubah setiap tahun bergantung kepada pertumbuhan ekonomi.