Skim Perlindungan mySalam

mySalam adalah skim perlindungan kesihatan nasional yang menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada individu dari golongan berpendapatan rendah B40 dan golongan berpendapatan sederhana M40. Inisiatif kerajaan bertujuan untuk membantu golongan B40 dan M40 menangani kesulitan kewangan apabila dimasukkan ke hospital kerajaan atau ditimpa penyakit kritikal.

mySalam ialah skim patuh syariah kerana ia adalah produk takaful (bukan insurans) yang diuruskan mengikut prinsip-prinsip Syariah.

Syarat Kelayakan mySalam

Mereka yang layak menerima perlindungan mySalam terbahagi kepada dua:

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)
  • Individu berumur antara 18 hingga 65 tahun dan pasangan
  • Individu bujang berumur antara 40 tahun dan 65 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM24,000 setahun
  • Individu OKU berumur antara 18 tahun dan 65 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM24,000 setahun
Penerima Bukan Bantuan Sara Hidup
  • Individu berumur antara 18 hingga 65 tahun dan berpendapatan sehingga RM100,000 setahun

Penerima BSH yang berumur lebih 65 tahun tidak layak mendapat perlindungan mySalam, walau bagaimanapun mereka layak mendapat bantuan dari Skim Peduli Kesihatan B40 (Peka B40).

Cara Memohon / Daftar mySalam

Berikut adalah cara mendaftar untuk menyertai mySalam:

  • Bagi penerima BSH, penyertaan adalah secara automatik dan tiada permohonan atau pendaftaran diperlukan untuk menyertai mySalam.
  • Manakala bagi bukan penrima BSH, anda mesti mendaftar terlebih dahulu, di pautan ini:

    https://www.mysalam.com.my/b40/info/?url=register_BM

Perlindungan mySalam diberikan secara percuma bagi mereka yang layak.

Skim perlindungan mySalam

Semakan Kelayakan mySalam

Mereka yang layak untuk skim mySalam akan dimaklumkan melalui SMS bermula daripada 1 Mac 2019.

Bagi mereka yang layak untuk skim mySalam tetapi tidak menerima SMS tersebut, sila hubungi pihak mySalam pada bila-bila masa untuk mendapatkan bantuan.

Manfaat mySalam

mySalam memberikan dua manfaat kepada penerima perlindungan:

  1. Pembayaran tunai RM8,000 (untuk penerima BSH) dan RM4,000 (untuk bukan penerima BSH) dibayar sekali secara sekaligus apabila disahkan menghidapi mana-mana satu daripada 45 penyakit kritikal yang tersenarai di bawah.
  2. Pendapatan gantian / elaun hospitalisasi harian sebanyak RM50 sehingga 14 hari atau maksimum RM700 setahun di mana-mana hospital kerajaan.

Perlindungan mySalam adalah untuk penerima BSH serta pasangan sahaja. Anak-anak penerima tidak termasuk di bawah perlindungan mySalam.

Senarai 45 Penyakit Yang Dilindungi

Berikut adalah senarai 45 penyakit kritikal yang dilindungi di bawah skim mySalam:

  1. Penyakit Alzheimer / Demensia Teruk
  2. Angioplasti dan rawatan invasif lain untuk penyakit arteri koronari
  3. Meningitis Bakteria - Mengakibatkan Ketidakupayaan Kekal untuk Melakukan Aktiviti Kehidupan Harian
  4. Tumor Otak Benign - Keterukan Tertentu
  5. Buta - Kekal dan Tidak Boleh Pulih
  6. Pembedahan Otak
  7. Kanser - Keterukan Tertentu dan Tidak Melindungi Kanser Tahap Awal
  8. Kardiomiopati - Keterukan Tertentu
  9. Anemia Aplastik Kronik - Mengakibatkan Kegagalan Kekal Sumsum Tulang
  10. Koma - Mengakibatkan Defisit Neurologi Kekal dengan Simptom Klinikal yang Berterusan
  11. Pembedahan Pintasan Arteri Koronari
  12. Pekak - Kekal dan Tidak Boleh Pulih
  13. Ensefalitis - Mengakibatkan Ketidakupayaan Kekal untuk Melakukan Aktiviti Kehidupan Harian
  14. Kegagalan Hati Tahap Akhir
  15. Penyakit Paru-Paru Tahap Akhir
  16. AIDS Dengan Gejala Penuh
  17. Hepatitis Viral Fulminan
  18. Serangan Jantung - Keterukan Tertentu
  19. Pembedahan Injap Jantung
  20. Jangkitan HIV Melalui Transfusi Darah
  21. Kegagalan Buah Pinggang - Memerlukan Dialisis atau Transplan Buah Pinggang
  22. Kehilangan Upaya Hidup Sendiri (Berdikari)
  23. Hilang Keupayaan Bertutur
  24. Trauma Kepala Major (Teruk) - Mengakibatkan Ketidakupayaan Kekal untuk Melakukan Aktiviti Kehidupan Harian
  25. Transplan Organ Utama/Sumsum Tulang
  26. Penyakit Neuron Motor - Defisit neurologi Kekal dengan Simptom Klinikal Berterusan
  27. Sklerosis Multipel
  28. Distrofi Otot
  29. Kelumpuhan Anggota
  30. Penyakit Parkinson - Mengakibatkan Ketidakupayaan Kekal untuk Melakukan Aktiviti Kehidupan Harian
  31. Hipertensi Arteri Pulmonari Primer - Keterukan Tertentu
  32. Penyakit Arteri Koronari Serius
  33. Strok/Angin Ahmar - Mengakibatkan Defisit Neurologi Kekal dengan Simptom-Simptom Klinikal Berterusan
  34. Pembedahan Aorta
  35. Lupus Eritematosus Sistemik Dengan Komplikasi Buah Pinggang Yang Teruk
  36. Kelecuran Tahap Ketiga - Keterukan Tertentu
  37. Virus Kurang Daya Tahan Manusia (HIV) dijangkiti melalui Pekerjaan
  38. Penyakit Terminal (Membawa Maut)
  39. Penyakit Sistik Medular
  40. Sindrom Apallic (iaitu Keadaan Vegetatif Berterusan)
  41. Poliomielitis
  42. Skleroderma Progresif
  43. Keradangan Pankreas Berulang dan Kronik
  44. Elefantiasis (Penyakit Untut)
  45. Penyakit Creutzfeldt-Jakob (Penyakit Lembu Gila)

Buat masa ini, skim mySalam ditawarkan melalui syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Semoga maklumat mengenai Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam) ini berguna buat para pembaca khususnya penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berumur 18 hingga 65 tahun.

Untuk maklumat lanjut tentang mySalam, orang ramai boleh menghubungi pihak mySalam melalui emel di info@mysalam.com.my atau hubungi talian careline mySalam di 1-300-888-938 yang beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Sumber: Laman web mySalam