Syarat Dan Semakan Kelayakan Program Subsidi Petrol (PSP)

Syarat kelayakan dan semakan status kelayakan Program Subsidi Petrol (PSP).

Program Subsidi Petrol (PSP) adalah program pengagihan subsidi petrol kepada isirumah golongan berpendapatan rendah B40 dan sederhana M40. Ia adalah satu bentuk bantuan kewangan untuk membantu membiayai sebahagian kos penggunaan petrol bagi rakyat yang benar-benar layak sahaja.

Pelaksanaan Program Subsidi Petrol akan bermula pada bulan Januari 2020. Ia dipecahkan kepada dua kategori iaitu kategori Penerima BSH dan kategori Bukan Penerima BSH.


Syarat-Syarat Kelayakan Penerima Program Subsidi Petrol (PSP)

Individu hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut untuk melayakkan diri menjadi penerima PSP:

  • Merupakan warganegara yang beralamat di Semenanjung Malaysia sahaja;
  • Memiliki kenderaan persendirian yang berdaftar dan mempunyai Lesen Kenderaan Motor yang masih sah;
  • Had maksimum pemilikan kenderaan adalah:
    • Kategori Penerima BSH: 2 buah kereta dan 2 buah motosikal
    • Kategori Bukan Penerima BSH: Sebuah kereta dan sebuah motosikal
  • Kenderaan-kenderaan yang dimiliki hendaklah menepati kriteria seperti berikut:
    • Kereta berkapasiti enjin 1600cc dan ke bawah; atau
    • Kereta berkapasiti enjin 1600cc ke atas yang berumur 10 tahun dan ke atas;
    • Motosikal berkapasiti enjin 150cc dan ke bawah; atau
    • Motosikal berkapasiti enjin 150cc ke atas yang berumur 7 tahun dan ke atas
  • Individu yang memiliki bilangan kenderaan yang melebihi had atau kenderaan yang tidak menepati kriteria di atas adalah TIDAK LAYAK menerima bantuan subsidi petrol.
  • Kelayakan subsidi dihadkan kepada sebuah kenderaan sahaja bagi setiap pemilik kenderaan yang berdaftar.


Kadar Subsidi PSP Petrol

Kadar subsidi bagi Program Subsidi Petrol adalah seperti berikut:

  • Kategori Penerima BSH

    Wang tunai sebanyak RM30 sebulan bagi pemilik kereta atau RM12 sebulan bagi pemilik motosikal, terhad kepada salah satu kadar yang lebih tinggi. Pemberian tunai kepada penerima yang layak dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun penerima setiap empat (4) bulan sekali.

  • Kategori Bukan Penerima BSH

    Mereka yang layak akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol RON95 pada kadar 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.


Semakan Status Kelayakan PSP

Bagi golongan penerima BSH, status kelayakan PSP boleh disemak bermula 15 Oktober 2019 melalui portal Program Subsidi Petrol (PSP) KPDNHEP di pautan berikut:

psp.kpdnhep.gov.my

Penerima BSH yang tidak layak boleh membuat rayuan melalui portal yang sama apabila permohonan rayuan dibuka. Kategori rayuan merangkumi pengemaskinian pemilikan kenderaan atau alamat rumah.

Bagi golongan bukan penerima BSH, proses serta tarikh permohonan baru untuk menerima PSP akan diumumkan kerajaan tidak lama lagi.

program subsidi petrol PSP


Penghapusan Subsidi Petrol RON95 Mulai 2020

Harga petrol RON95 akan dikekalkan pada RM2.08 sehingga 31 Disember 2019.

Bermula Januari 2020, harga petrol RON95 akan diapungkan secara berperingkat (gradual) sehingga setara dengan harga pasaran. Tiada lagi subsidi harga petrol RON95 secara pukal seperti yang kita nikmati selama ini.

Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dikecualikan dari perlaksanaan Program Subsidi Petrol dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95. Harga runcit petrol RON95 di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dikekalkan berdasarkan harga jualan semasa iaitu pada kadar RM2.08 seliter.

Semoga maklumat syarat kelayakan serta semakan kelayakan Program Subsidi Petrol PSP yang dikongsi ini memberi manfaat buat para pembaca.