Panduan Solat Sunat Tarawih Dan Witir Di rumah

Panduan solat sunat Tarawih di rumah. Perintah PKP dan wabak COVID-19 ketika ini berkemungkinan besar menghalang kita daripada menunaikan solat Tarawih di masjid seperti tahun-tahun lepas.

Namun begitu kita boleh saja melakukan solat sunat tarawih di rumah, secara sendirian atau berjemaah dengan ahli keluarga.

Sama-samalah kita berpuasa disiang hari dan menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan yang penuh berkat dengan ibadat solat sunat Tarawih, solat sunat Witir, tadarus Al-Quran, bersedekah dan lain-lain amal kebajikan.

Sila rujuk Jadual Berbuka Puasa Dan Imsak Ramadan 2020/1441H untu waktu imsak dan berbuka puasa bagi setiap negeri di Malaysia.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bererti:

"Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu." (Riwayat Muslim)

Berikut adalah panduan menunaikan solat Tarawih dan solat Witir di rumah untuk manfaat bersama.

SOLAT SUNAT TARAWIH

panduan solat sunat tarawih dirumah

Hukum Solat Sunat Tarawih

Solat sunat Tarawih hukumnya sunat muakkad (yang sangat dituntut) dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada setiap malam di bulan Ramadhan. Solat Tarawih boleh dikerjakan secara sendirian ataupun secara berjemaah, namun solat Tarawih secara berjemaah lebih afdal.

Waktu Solat Sunat Tarawih

Waktu solat sunat Tarawih ialah selepas menunaikan solat fardu Isyak hingga sebelum masuk waktu Subuh.

Jumlah Rakaat Solat Sunat Tarawih

Tarawih berapa rakaat? Lazimnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat sunat Tarawih sebanyak dua puluh rakaat atau lapan rakaat. Ia diakhiri dengan solat sunat Witir tiga rakaat.

Jumlah rakaat Solat Sunat Tarawih yang biasa dilakukan Rasulullah SAW adalah lapan rakaat, ditambah dengan tiga rakaat solat sunat Witir.

Solat sunat Tarawih hendaklah didirikan sebanyak dua rakaat untuk setiap kali takbiratul ihram. Solat diulang sehingga cukup jumlah rakaat yang dikehendaki.

Lafaz Niat Solat Sunat Tarawih

Berikut adalah lafaz niat solat sunat Tarawih berserta makna.

  • Lafaz niat solat sunat Tarawih (untuk makmum):

    اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

    Sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Ta'ala

Lafaz niat di atas adalah untuk makmum sahaja. Tukar perkataan "makmuman" kepada "imaman" jika menjadi imam. Buang perkataan "makmuman" jika solat seorang diri.

Rukun Solat Sunat Tarawih

Rukun solat sunat Tarawih adalah sama seperti solat fardu atau solat sunat yang lain.

Pemilihan Surah Untuk Solat Tarawih

Selepas membaca surah Al-Fatihah, sunat membaca sebarang ayat atau surah daripada Al-Quran . Anda boleh membaca mana-mana surah atau ayat yang diingati. Tiada penetapan khas untuk surah yang perlu dibaca dalam solat sunat Tarawih, namun sebagai panduan, dicadangkan membaca surah-surah berikut:

⦿ Malam 1 hingga 15 Ramadan
  1. Rakaat pertama

    Surah yang bermula dari surah At-Takathur hingga surah Al-Masad mengikut turutan berikut:

    • Solat pertama: At-Takaathur ( أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ... )
    • Solat kedua: Al-'Asr ( وَالْعَصْرِ... )
    • Solat ketiga: Al-Humazah ( وَيْلٌ لِّكُلِّ هُمَزَةٍ لُّمَزَةٍ... )
    • Solat keempat: Al-Fil ( أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ... )
    • Solat kelima: Quraisy ( لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ... )
    • Solat keenam: Al-Ma'un ( أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ... )
    • Solat ketujuh: Al-Kauthar ( إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ... )
    • Solat kelapan: Al-Kafirun ( قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ... )
    • Solat kesembilan: An-Nasr ( إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ... )
    • Solat kesepuluh: Al-Masad ( تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ... )
  2. Rakaat kedua (solat pertama hingga kesepuluh)

    Surah Al-Ikhlas ( قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ... )

⦿ Malam 16 hingga akhir Ramadan
  1. Rakaat pertama (solat pertama hingga kesepuluh)

    Surah Al-Qadr ( إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ... )

  2. Rakaat kedua

    Bermula dari surah At-Takathur hingga surah Al-Masad seperti yang dibaca pada rakaat pertama bagi malam-malam 1 hingga 15 Ramadhan

SOLAT SUNAT WITIR

Kebiasaannya di Malaysia kita mendirikan solat sunat Witir secara berjemaah selepas solat sunat Tarawih.

Sunat Witir dilakukan sama seperti solat sunat lain, cuma jumlah bilangan rakaatnya ganjil. Ia boleh ditunaikan sekurang-kurangnya satu rakaat, namun lazimnya ia ditunaikan sebanyak tiga rakaat – solat pertama dua rakaat, kemudian solat kedua satu rakaat.

Lafaz Niat Solat Sunat Witir

  • Lafaz niat bagi dua rakaat yang pertama (untuk makmum):

    أُصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

    Sahaja aku solat sunat Witir dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Ta'ala

  • Lafaz niat bagi rakaat yang akhir (untuk makmum):

    أُصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَةً مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

    Sahaja aku solat sunat Witir satu rakaat sebagai makmum kerana Allah Ta'ala

Tukar perkataan "makmuman" kepada "imaman" jika menjadi imam. Buang perkataan "makmuman" jika solat seorang diri.

Pemilihan Surah Solat Witir

Selepas membaca surah Al-Fatihah, tiada penetapan khas untuk surah yang perlu dibaca dalam solat sunat Witir. Namun sebagai panduan, dicadangkan dibaca surah-surah berikut:

  1. Solat pertama (dua rakaat)
    • Rakaat pertama: Surah Al-A'laa ( سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى... )
    • Rakaat kedua: Surah Al-Kafirun ( قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ... )
  2. Solat kedua (satu rakaat)
    • Al-Ikhlas ( قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ... )
    • Al-Falaq ( قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ...)
    • An-Naas ( قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ... )

Bacaan Qunut Solat Witir

Pada malam 16 hingga akhir bulan Ramadhan disunatkan membaca Qunut pada rakaat yang akhir. Lafaznya sama dengan bacaan Qunut solat Subuh. Jika lupa membaca Qunut, disunatkan sujud sahwi.

Doa Selepas Selesai Solat Witir

Doa yang dibacakan selepas tamat solat witir.

اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا دَائِمًا، وَنَسْأَلُكَ قَلْبًا خَاشِعًا، وَنَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَنَسْأَلُكَ يَقِيْنًا صَادِقًا، وَنَسْأَلُكَ عَمَلاً صَالِحًا، وَنَسْأَلُكَ دِيْنًا قَيِّمًا، وَنَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ، وَنَسْأَلُكَ تَمَامَ الْعَافِيَةِ، وَنَسْأَلُكَ الشُّكْرَ عَلَى الْعَافِيَةِ، وَنَسْأَلُكَ الْغِنَى عَنِ النَّاسِ.

اَللَّهُمَّ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاَتَنَا وصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَتَخَشُّعَنَا وَتَضَرُّعَنَا وَتَعَبُّدَنَا، وَتَمِّمْ تَقْصِيْرَنَا يَا اَللَّهُ، يَا اَللَّهُ، يَا اَللَّهُ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ، وَسَلاَمٌ عَلَى الْمُرْسَلِيْنَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon kepadaMu iman yang tetap, kami memohon kepadaMu hati yang khusyuk, kami memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, kami memohon kepadaMu keyakinan yang benar, kami memohon kepadaMu (dapat melaksanankan) amal yang soleh, kami memohon kepada-Mu tetap dalam agama Islam, kami memohon kepadaMu kebaikan yang melimpah ruah, kami memohon kepadaMu keampunan dan kesihatan, kami memohon kepadaMu kesihatan yang sempurna, kami memohon kepadaMu kesyukuran di atas kesihatan yang Engkau berikan, dan kami memohon kepadaMu kecukupan.

Ya Allah! Ya Tuhan kami. Terimalah daripada kami solat kami, puasa kami, qiyam kami, khusyuk kami, kerendahan hati kami, ibadah kami dan sempurnakanlah kekurangan kami Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!

Selawat Allah ke atas sebaik-baik makhluk iaitu Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga serta para sahabatnya sekalian dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.

Semoga panduan cara-cara menunaikan solat sunat Tarawih dan sunat Witir ini bermanfaat untuk para pembaca. Sama-samalah kita mencari keberkatan dan keampunan Allah SWT pada malam-malam sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Lakukanlah dengan ikhlas mengikut cara yang sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Untuk perincian cara solat Tarawih, solat Witir serta doa dan bacaan, sila muat turun panduan yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini.