Cara Dapatkan Salinan Keputusan Peperiksaan

Cara dapatkan salinan keputusan peperiksaan dari Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Apa yang boleh anda lakukan sekiranya sijil SPM/MCE atau slip keputusan peperiksaan PMR/SRP/LCE anda hilang dihanyutkan banjir atau terbakar. Bagaimana kalau ia rosak terkena air atau koyak? Anda sebenarnya boleh memohon untuk mendapatkan salinan keputusan peperiksaan sebagai ganti kepada sijil atau pernyataan yang hilang atau rosak.

Nota: Sijil atau pernyataan keputusan peperiksaan asal hanya dicetak sekali sahaja bagi semua jenis peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan.

Berikut adalah panduan cara-cara membuat permohonan untuk mendapatkan salinan keputusan peperiksaan dari Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Cara Memohon Salinan Keputusan Peperiksaan PMR SRP LCE SPM MCE

Cara Memohon Di kaunter LPM

  1. Pemohon (atau wakil*) hendaklah datang sendiri ke Kaunter Perkhidmatan Sijil Lembaga Peperiksaan (LP) di Aras Bawah, Blok E11, Kompleks E, Putrajaya pada hari bekerja:
    • Isnin hingga Khamis (8.15 pagi – 4.30 petang)
    • Jumaat (8.15 pagi – 12.00 tengahari, 2.45 petang – 4.30 petang)

    * Wakil hendaklah dari ahli keluarga terdekat, dan membawa bersama Surat Pelantikan Wakil yang ditandatangani oleh pemohon beserta salinan kad pengenalan pemohon yang telah disahkan. Surat perlantikan wakil boleh dimuat turun di sini.

  2. Dapatkan borang permohonan salinan keputusan peperiksaan (borang LP/SIJIL/Pin 1/96a) dan isikan dengan lengkap.
  3. Serahkan borang bersama bayaran proses RM30.00 secara tunai bagi setiap salinan pernyataan keputusan peperiksaan yang dipohon.

Masa yang diambil untuk memproses permohonan salinan pernyataan keputusan peperiksaan di kaunter Lembaga Peperiksaan adalah seperti berikut:

Jenis Keputusan Masa yang diambil
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1993 atau sebelum 7 hari bekerja
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1994 atau selepas 1 jam
Penilaian Menengah Rendah (PMR) 1997 atau sebelum 7 hari bekerja
Penilaian Menengah Rendah (PMR) 1998 atau selepas 1 jam
Lain-lain peperiksaan (STAM, SPMU, MPV, SPMV, SPVM, SVM, MCE, SPDM, SRP, LCE, MPAV) 7 hari bekerja

Cara Memohon Melalui Pos

  1. Muat turun borang permohonan salinan pernyataan keputusan peperiksaan (borang LP/SIJIL/Pin 1/96a) di pautan ini dan isi dengan lengkap.
  2. Sediakan bayaran RM30.00 dalam bentuk Wang Pos (Postal Order), Kiriman Wang Pos (Money Order) atau Draf Bank (Bank draft) atas nama PENGARAH PEPERIKSAAN. Cek persendirian tidak diterima.
  3. Hantarkan borang permohonan bersama bayaran dan salinan kad pengenalan pemohon ke alamat berikut:

    Pengarah Peperiksaan
    Lembaga Peperiksaan
    Kementerian Pendidikan Malaysia
    Aras 10, Blok E 11, Kompleks E
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62604 Putrajaya

  4. Semua permohonan secara pos akan diproses dalam masa tujuh (7) hari bekerja tanpa mengira perjalanan pos.

Lembaga Peperiksaan tidak mengeluarkan salinan laporan UPSR. Pemohon dinasihatkan menghubungi sekolah untuk urusan tersebut.

Lembaga Peperiksaan tidak menyimpan sijil asal calon. Calon yang tidak mengambil sijil asal dinasihatkan menghubungi sekolah atau Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri untuk mendapatkan sijil asal sekiranya sijil tersebut belum dituntut dalam masa tiga tahun setelah menduduki peperiksaan.

Sumber: Maklumat Lembaga Peperiksaan Malaysia