Lafaz Niat Ganti/Qadha Puasa Ramadan

Lafaz niat ganti puasa Ramadhan. Bulan Ramadan akan kembali tidak lama lagi. Bagi sesiapa yang masih belum mengganti puasa fardhu yang ditinggalkan atau yang terbatal pada Ramadan lepas, cepat-cepatlah berbuat demikian. Kalau tidak habis diganti (qadha) sebelum bermula puasa Ramadan tahun ini, alamatnya kena bayar fidyah la lepas ni.

Puasa qadha adalah puasa yang kita niatkan untuk mengganti puasa wajib yang ditinggalkan. Sebagai contoh orang yang meninggalkan puasa disebabkan sedang haid, wajib mengganti puasa tersebut di bulan yang lainnya. Bilangan hari yang wajib diganti adalah sama dengan bilangan hari puasa yang ditinggalkan.

Puasa qadha hendaklah dilakukan sebelum datangnya bulan puasa/Ramadan yang berikutnya. Ia boleh dilakukan mana-mana hari kecuali pada hari diharamkan berpuasa. Cara melaksanakan puasa ganti adalah mengikut rukun dan syarat-syarat sebagaimana puasa wajib biasa. Jika gagal mengganti dalam masa yang ditetapkan, bayaran fidyah akan dikenakan disamping puasa masih perlu diganti (kecuali mereka yang uzur disebabkan sakit tua atau sakit berpanjangan).

[Baharu] Jadual Berbuka Puasa Dan Imsak 2020 Malaysia Dan Singapura

Niat Puasa Ganti

Untuk panduan anda yang akan mengganti puasa, berikut adalah lafaz* niat qadha puasa dalam bahasa Arab, bersama sebutan dalam tulisan Rumi, serta terjemahan/maksud dalam Bahasa Melayu.

*Melafazkan/menyebut niat adalah tidak wajib kerana niat adalah persoalan hati, bukan lidah.

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءٍ فَرْضَ رَمَضَانً لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaytu ṣawma ghadin 'an qaḍā in farḍa ramaḍāna lillāhi ta'ālā

Maksud niat:

Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Ta'ala.

Puasa Ganti Dan Puasa Sunat Serentak

Puasa ganti dan puasa sunat boleh diniatkan serentak (yakni digabungkan). Namun lebih afdhal jika dilakukan secara berasingan.

Berikut adalah contoh niat puasa qadha serentak dengan puasa enam di bulan Syawal:

Sahaja aku puasa esok hari qadha fardhu Ramadhan berserta sunat Syawal kerana Allah Ta'ala.

Wallahu a'lam.