Cara Semak Dan Claim Wang Tak Dituntut Di JANM

Semakan dan permohonan tuntutan Wang Tak Dituntut WTD 2020. Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) selaku pendaftar WTD ialah pemegang amanah terhadap WTD. JANM akan membayar balik WTD kepada empunya sekiranya terdapat permohonan tuntutan.

Tuntutan boleh dibuat di mana-mana pejabat JANM. Secara ringkasnya tuntutan bayaran balik WTD melibatkan dua proses iaitu:

  1. Membuat semakan WTD untuk mengetahui sekiranya anda mempunyai WTD.
  2. Membuat tuntutan WTD untuk mendapatkan balik wang anda (jika ada).

Semakan dan tuntutan WTD tidak mempunyai tarikh luput, jadi ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Kedua-dua perkhidmatan ini ditawarkan secara percuma.

Semakan Wang Tidak Dituntut Di JANM

Semakan WTD boleh dilakukan dengan hadir sendiri di mana-mana pejabat Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM). Untuk lokasi pejabat JANM berhampiran anda, sila rujuk senarai lokasi pejabat cawangan negeri JANM di sini.

Untuk makluman, anda juga boleh membuat semakan wang tak dituntut secara online.

Cara nak check WTD mudah sahaja. Serahkan MyKad/kad pegenalan di kaunter bahagian WTD. Tidak perlu isi borang. Pihak JANM akan melakukan semakan, dan akan menyerahkan butiran WTD kepada anda sekiranya ada.

Untuk menyemak bagi pihak ahli keluarga yang uzur atau sakit, anda perlu mengemukakan surat pengesahan kesihatan dari klinik/hospital dan surat sokongan yang menyatakan hubungan anda dengan pesakit.

Untuk menyemak WTD orang yang telah meninggal dunia, anda perlu mengemukakan surat mati dan surat sokongan yang menyatakan hubungan anda dengan si mati.

Permohonan Tuntutan Bayaran Balik WTD Oleh Individu

Panduan ini adalah untuk tuntutan oleh INDIVIDU, dan untuk WTD dari jenis akaun simpanan, akaun semasa, simpanan tetap, elaun, gaji, dividen, insurans, deposit TNB, SYABAS, TM dan seumpamanya.

Untuk membuat tuntutan, empunya atau waris/pentadbir (sekiranya empunya WTD telah meninggal dunia) hendaklah hadir sendiri di pejabat JANM dan mengemukakan borang permohonan tuntutan dan dokumen sokongan.

cara tuntut claim WTD

A. Tuntutan WTD Oleh Empunya

Dokumen-dokumen berikut hendaklah disediakan dan diserahkan ketika membuat tuntutan bayaran balik:

  • Borang Permohonan Bayaran Balik WTD (UMA-7) yang lengkap diisi dan ditandatangani. Borang UMA-7 dalam bentuk pdf boleh dimuat turun di sini.
  • Salinan kad pengenalan (hadapan dan belakang) atau pasport pemohon bagi bukan warganegara.
  • Dokumen asal (Contoh: buku bank/sijil simpanan tetap dan lain-lain).
  • Surat pengesahan daripada syarikat yang membuat serahan WTD hendaklah disertakan jika dokumen asal tiada.
  • Salinan muka hadapan buku akaun/ penyata bank pemohon yang aktif serta disahkan oleh pihak bank (bayaran balik WTD akan dikreditkan terus ke dalam akaun).

Nota

Bagi Tuntutan WTD untuk Akaun Bersama (Joint Account) yang mempunyai syarat operasi tandatangan bersama:

  • Tuntutan hendaklah dibuat secara bersama oleh semua pemegang akaun.
  • Salinan muka hadapan buku akaun bersama (joint account) yang aktif serta disahkan oleh pihak bank tersebut (bayaran balik Wang Tak Dituntut dikreditkan terus ke dalam akaun).
B. Tuntutan WTD Oleh Waris / Pentadbir Bagi Empunya Yang Telah Meninggal Dunia

Dokumen-dokumen berikut hendaklah disediakan dan diserahkan bila membuat tuntutan:

  • Borang UMA-7 yang lengkap diisi dan ditandatangani.
  • Salinan kad pengenalan (hadapan dan belakang) / pasport pemohon bagi bukan warganegara.
  • Dokumen asal (contoh: buku bank / sijil simpanan tetap dan lain-lain).
  • Surat pengesahan daripada syarikat yang membuat serahan WTD hendaklah disertakan jika dokumen asal tiada.
  • Surat Kuasa Mentadbir harta pusaka yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi, Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan (JKPTG) [Amanah Raya Berhad].

    Nota:

    • Sijil Faraid adalah bukan Surat Kuasa Mentadbir.
    • Perintah Mahkamah / Grant Of Probate / Letters Of Administration daripada Mahkamah Luar Negara perlu didaftar dan dimeterai di Mahkamah Tinggi Malaya.
    • Salinan perlu disahkan oleh pihak yang mengeluarkan dokumen tersebut.
  • Salinan muka hadapan buku akaun / penyata bank pemohon yang aktif serta disahkan oleh pihak bank (bayaran dikreditkan terus ke dalam akaun)

NOTA:

Bagi tuntutan WTD bagi amaun sehingga RM2,000, sekiranya tiada surat kuasa mentadbir, dokumen berikut adalah diperlukan:

  • Salinan dokumen yang menunjukkan pertalian/ hubungan seperti Sijil Kelahiran atau Sijil Nikah.
  • Salinan Sijil Kematian.
  • Borang Bon Tanggungrugi UMA-8 yang lengkap diisi, dimatikan Setem Hasil RM10.00 di LHDN dan ditandatangani di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah bagi setiap butiran WTD. Borang UMA-8 dalam bentuk pdf boleh di muat turun di sini.

Panduan terperinci cara menuntut WTD termasuk tuntutan Banker's Cheque / Bank Draft / Cashier's Order, tuntutan oleh Bukan Individu (Syarikat/Firma) dan tuntutan oleh Liquidator boleh dimuat turun di sini.

Untuk maklumat terkini berkaitan WTD, download borang-borang tuntutan WTD dan juga contoh mengisi borang, sila layari laman Wang Tidak Dituntut di portal rasmi JANM di sini.