Semak Samada Kursus Universiti Diiktiraf Kerajaan/JPA/MQA

|  2 comments

Cara buat semakan status pengiktirafan oleh MQA/JPA bagi kelayakan daripada IPTA awam atau IPTS.

Sebelum memutuskan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam kursus pilihan anda, elok sekiranya anda menyemak dulu untuk memastikan samada kelayakan / program pengajian dari universiti tersebut diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MQA.

Kenapa perlu pastikan kursus/kelayakan diiktiraf JPA? Kerana kerajaan hanya melantik calon yang mempunyai kelayakan yang diiktiraf kerajaan Malaysia (melalui JPA) untuk berkhidmat di sektor awam. Selain itu, ianya memudahkan anda penajaan / pinjaman pengajian. Rugilah kalau anda habiskan masa, tenaga dan duit untuk belajar di universiti terbaik tapi kelayakan (sijil / diploma / ijazah) anda "tak laku" kerana ia tidak diiktiraf JPA.

Semakan Kelayakan Yang Diiktiraf JPA Melalui eSisraf

semak pengiktirafan kursus pengajian oleh JPA kerajaan eSisraf

Semakan pengiktirafan kelayakan (qualification accreditation) boleh dibuat secara online melalui Portal Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf). Laman semakan ini hanya menyenaraikan program pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Pertama sahaja namun ia meliputi semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam dan luar negara:

https://www2.mqa.gov.my/esisraf/kelayakan.cfm

Kelayakan yang tersenarai dalam eSisraf adalah bagi program-program yang diberi pengiktirafan Kerajaan Malaysia sehingga Disember 2016 sahaja.

Manakala bagi program-program yang diberi pengiktirafan Kerajaan mulai Januari 2017, semakan boleh dibuat di Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR). Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersetuju semua program yang diakredit oleh MQA membawa maksud diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan akan disyorkan nilai taraf Perkhidmatan Awam berdasarkan keperluan yang ditetapkan dalam Skim-skim Perkhidmatan Awam.

Semakan Kelayakan Melalui Daftar Kelayakan Malaysia (MQR)

Daftar Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Register (MQR) adalah merupakan satu daftar kebangsaan yang mengandungi kelayakan yang dianugerahkan oleh pemberi pendidikan tinggi yang diakredit di bawah Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007.

MQR merupakan sumber rujukan dan panduan berkaitan program pendidikan tinggi yang telah diakreditkan dan dianugerahkan oleh pemberi pendidikan tinggi di Malaysia.

semak pengiktirafan kursus pengajian oleh JPA eSisraf

Maklumat yang terdapat dalam MQR adalah seperti berikut:

  • Nama dan alamat institusi pendidikan tinggi (IPT)
  • Nombor rujukan kelayakan
  • Bidang kelayakan
  • Tempoh sah laku
  • Tahap kelayakan
  • Jam kredit bergraduat

Semakan/carian boleh dibuat dengan melayari Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) di pautan berikut:

https://www2.mqa.gov.my/mqr/

Universiti/IPT Yang Diiktiraf JPA?

Jangan terpedaya atau tertipu dengan kenyataan seperti berikut:

"Universiti / kolej / institut / akademi kami diiktiraf JPA."

kerana ianya mengelirukan (misleading).

Ingat, JPA hanya mengiktiraf kelayakan/program pengajian, bukan institusi pengajian.

Nota: Cetakan perincian pengiktirafan dari laman web semakan di atas boleh digunakan sebagai Surat Pengiktirafan Ijazah JPA. Pastikan anda membawanya bila menghadiri temuduga untuk jawatan kerajaan.

Semoga maklumat semakan kursus/kelayakan yang diiktiraf JPA ini bermanfaat buat para pembaca.

2 comments

Tanpa Nama

Tanpa Nama

22 April, 2014 14:39
Adakah pengiktirafan JPA sama dengan akreditasi MQA?
Malaysia Tercinta

Malaysia Tercinta

22 April, 2014 14:54
@Balasan Tak sama.
Akreditasi merupakan satu pengiktirafan rasmi kepada IPT bahawa sijil, diploma atau ijazah yang akan dianugerahkan kepada graduan adalah selaras dengan standard yang ditetapkan oleh MQA.
Pengikitirafan pula bermaksud penerimaan satu-satu kelayakan oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan tertentu. Sebagai contoh, pengiktirafan kerajaan melalui JPA adalah syarat untuk dipertimbangkan berkhidmat di sektor awam.
Pada prinsipnya, program pengajian dan kelayakan yang telah diakredit oleh MQA akan diiktiraf oleh JPA.
sumber: http://www.mqa.gov.my/mqr/faq.cfm
Ulasan ditutup