Maksud Miskin Tegar, Miskin, B40, M40 Dan T20

Apa yang dimaksudkan dengan golongan Miskin Tegar, Miskin, B40, M40 dan T20? Istilah-istilah ini digunakan oleh kerajaan untuk mengkelaskan isi rumah di Malaysia kepada kumpulan atau golongan berdasarkan pendapatan bulanan*.

B40, M40 dan T20 adalah masing-masing singkatan kepada Bottom 40%, Middle 40% dan Top 20%. % (peratus) dalam istilah ini merujuk kepada nisbah bilangan isi rumah dalam setiap kumpulan berbanding jumlah keseluruhan bilangan isi rumah (household) di Malaysia (yang mewakili keseluruhan penduduk Malaysia).

Untuk menentukan julat pendapatan bagi setiap kumpulan, setiap isi rumah di senaraikan mengikut pendapatan, bermula dengan isi rumah yang berpendapatan paling tinggi diletakkan di kedudukan paling atas sehinggalah isi rumah yang berpendapatan paling rendah di kedudukan paling bawah. Kemudian barulah jumlah isi rumah ini dibahagi kepada tiga bahagian iaitu bahagian 20% paling atas, 40% pertengahan dan 40% paling bawah.

definisi atau maksud golongan B40, M40 dan T20

Definisi Kumpulan Pendapatan B40, M40 Dan T20

Siapa golongan B40, siapa golongan M40 dan siapa pula golongan T20 di Malaysia? Takrif isi rumah mengikut kumpulan pendapatan T20, M40 dan B40 yang diguna pakai di Malaysia adalah seperti berikut:

B40 (Bottom 40%)

B40 ialah golongan berpendapatan rendah.

  • B40 merujuk kepada 40% penduduk Malaysia yang berada pada kedudukan paling bawah dari aspek pendapatan isi rumah (berpendapatan terendah).
  • Isi rumah yang tergolong dalam kumpulan B40 ialah yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM4,850.**

Kumpulan isi rumah B40 juga merangkumi isi rumah Miskin dan Miskin Tegar. Isi rumah Miskin adalah kelompok yang berpendapatan kurang daripada paras nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional, manakala Isi rumah Miskin Tegar adalah kumpulan yang berpendapatan kurang daripada paras PGK Makanan. Nilai purata PGK Nasional ialah RM2,208 sebulan manakala purata nilai PGK Makanan adalah RM1,038 RM1,169 sebulan.

B40 merupakan golongan sasar kepada sebahagian besar program-program bantuan kerajaan seperti Bantuan Sara Hidup Rakyat BSH, skim kesihatan PeKa B40, skim takaful mySalam dan subsidi bil elektrik (miskin dan miskin tegar sahaja).

M40 (Middle 40%)

M40 ialah golongan berpendapatan sederhana.

  • M40 merujuk kepada 40% penduduk Malaysia yang berada pada kedudukan pertengahan dari aspek pendapatan isi rumah (berpendapatan pertengahan).
  • Isi rumah yang termasuk dalam golongan M40 ialah yang berpendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,959 sebulan.**
T20 (Top 20%)

T20 ialah golongan berpendapatan tinggi.

  • T20 merujuk kepada 20% isi rumah di Malaysia yang berada pada kedudukan teratas dari aspek pendapatan isi rumah (berpendapatan tertinggi).
  • Isi rumah yang tergolong dalam T20 ialah yang berpendapatan bulanan RM10,960 atau lebih.**

Diharap info mengenai definisi B40, M40 dan T20 ini menjawab persoalan apakah yang dimaksudkan dengan kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 yang sering disebut-sebut oleh para menteri dan media massa.

* Isi Rumah ditakrifkan sebagai seseorang atau sekumpulan orang yang bersaudara atau orang yang tidak bersaudara yang biasanya tinggal bersama dan membuat peruntukan yang sama untuk makan dan keperluan hidup yang lain.

** Had pendapatan kumpulan isi rumah adalah berdasarkan kepada Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah & Kemudahan Asas 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Jumlah pendapatan bagi setiap gologan akan berubah setiap tahun bergantung kepada pertumbuhan ekonomi.