Cara Daftar Dan Aktifkan i-Akaun KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memudahkan akses simpanan KWSP melalui i-Akaun (Ahli), di mana ahli boleh menyemak baki simpanan setiap akaun (Akaun 1, Akaun 2), menyemak dividen tahunan KWSP, memantau transaksi caruman serta memohon e-Pengeluaran KWSP dengan lebih mudah yakni secara online.

Semua ahli samada warganegara atau bukan warganegara yang mempunyai nombor KWSP yang sah, layak mendaftar i-Akaun.

cara daftar i-akaun KWSP


Cara Mendaftar Dan Mengaktifkan i-Akaun KWSP

  1. Pergi ke mana-mana Kios atau Kaunter KWSP yang berhampiran untuk mendaftar. Selepas selesai mendaftar anda akan menerima SMS yang mengandungi ID Pengguna dan Kata Laluan sementara untuk i-Akaun anda.
  2. Layari www.kwsp.gov.my, pergi kepada bahagian “Saya Ahli (i-Akaun)” dan tekan butang “Log Masuk”.
  3. Masukkan ID Pengguna dan Kata Laluan sementara yang diterima melalui SMS untuk aktifkan akaun. *Pengaktifan perlu dilakukan dalam masa 30 hari anda menerima SMS.
  4. Baca Terma Dan Syarat yang dipaparkan dan pilih “Setuju”.
  5. Kemudian tukar ID Pengguna sementara kepada yang baharu (kekal), masukkan Kata Laluan baharu, pilih imej online untuk pengesahan dan masukkan Frasa Rahsia anda. *Jika ID Pengguna tidak diubah, ID Pengguna sementara akan digunakan sebagai ID Pengguna kekal.
  6. Apabila pengaktifan selesai, anda akan menerima notifikasi berjaya di skrin anda.
  7. Log masuk dengan maklumat akaun baru untuk akses i-Akaun KWSP anda.


Kemudahan Yang Disediakan Dalam i-Akaun

Senarai perkhidmatan secara online yang ditawarkan oleh i-Akaun (Ahli) KWSP diantaranya ialah:

  • Perkhidmatan e-Pengeluaran
  • Semakan Penyata KWSP tahun semasa dan tahun sebelumnya
  • Semakan status permohonan pengeluaran
  • Semakan sejarah pengeluaran
  • Semakan status penamaan
  • Kiraan anggaran amaun pengeluaran perumahan, simpanan dan pelaburan
  • Kemaskini profil termasuk alamat surat-menyurat
  • Semakan rekod transaksi caruman KWSP selama 2 tahun terkini


Cara Melindungi ID Pengguna Dan Kata Laluan

ID Pengguna dan kata laluan adalah kunci kepada akses maklumat di dalam i-Akaun anda. Pastikan anda melindungi ID Pengguna dan kata laluan supaya tidak diketahui atau dicuri oleh orang lain.

Berikut adalah Antara langkah-langkah yang dapat membantu anda melindungi ID Pengguna dan kata laluan anda:

  • Jangan dedahkan ID Pengguna dan kata laluan kepada sesiapapun
  • Jangan berikan ID Pengguna dan kata laluan anda melalui media sosial, emel atau telefon
  • Tukar kata laluan secara berkala
  • Jangan gunakan fungsi "Remember Password" pada web browser, kerana maklumat anda akan mudah diakses oleh penggodam komputer
  • Log Out dari i-Akaun sebaik sahaja anda menyelesaikan urusan

Semoga maklumat mengenai pendaftaran, pengaktifan, perkhidmatan dan sekuriti i-Akaun KWSP bermanfaat buat para pembaca.