Hari-hari Sunat, Haram Dan Makruh Puasa

Hari-hari sunat puasa, makruh puasa dan haram puasa. Berlalunya Ramadan tidak bermakna umat Islam terhenti daripada melaksanakan ibadat puasa. Disiplin serta tabiat baik yang dipupuk semasa puasa fardu di sepanjang bulan Ramadan tidak harus disia-siakan. Kita boleh kekalkannya sepanjang tahun dengan melakukan puasa-puasa sunat pula.

Rasulullah SAW sentiasa berpuasa, tidak secara berterusan, tetapi secara berkala, sepanjang tahun.

Puasa sunat boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun Hijrah (kecuali beberapa hari yang makruh puasa dan haram puasa), namun begitu ada hari-hari tertentu yang disebutkan secara khusus, yang menjanjikan ganjaran pahala yang lebih besar jika seseorang berpuasa.


Senarai Hari Sunat Berpuasa

Berikut adalah hari-hari yang disunatkan berpuasa untuk orang Islam. Disertakan juga hadis-hadis sabagai dalil.

Untuk dapatkan tarikh-tarikh puasa sunat berdasarkan kalendar Masihi untuk tahun ini, sila rujuk Kalendar Islam 2019 Masihi / 1440-1441 Hijrah.

  • Puasa Hari Isnin dan Khamis

    Aisyah RA berkata:

    “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Riwayat al-Tirmizi)

    Berpuasa dua kali seminggu bukan sahaja sunnah, tetapi sebenarnya dikatakan sebagai rutin yang sihat untuk tubuh anda. Ada kajian yang menunjukkan bahawa puasa yang berselang-seli memberi peluang kepada tubuh untuk membersihkan sisa buangan dan meningkatkan kadar metabolisme seseorang, membantu membakar lebih banyak kalori.

  • Puasa Hari-hari Putih (Ayyāmul Bīḍ)

    Hari-hari putih merujuk kepada hari dipertengahan bulan Islam iaitu hari ke-13, ke-14, dan ke-15, jadi tarikh ini mungkin berubah-ubah bagi bulan dalam kalendar Gregorian/Masihi. Pada tiga tarikh ini suasana malam putih/cerah disebabkan bulan berada dalam fasa bulan purnama/penuh dan paling cerah.

    Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Abu Zarr RA:

    “Wahai Abu Zarr! Apabila kamu berpuasa tiga hari dari setiap bulan, maka berpuasalah pada hari ke 13, 14 dan 15.” (Riwayat al-Tirmizi)
  • Puasa Hari Asyura (10 Muharram) dan Hari Tasu’a (9 Muharram)

    10 Muharram, iaitu pada bulan pertama kalendar Islam, ialah hari sempena memperingati peristiwa Allah menyelamatkan Nabi Musa AS dan para pengikutnya dari buruan Firaun. Allah membelah Laut Merah untuk memberi laluan kepada Nabi Musa AS dan para pengikutnya, kemudian laut kembali bertaut lalu membunuh Firaun serta tenteranya.

    Qatadah al-Ansari RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa pada Hari Asyura, maka baginda menjawab:

    “Puasa itu boleh menghapuskan pada setahun yang terdahulu”. (Riwayat Muslim)

    Disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram yakni Hari Tasu’a bagi membezakan dengan amalan kaum Yahudi kerana mereka juga berpuasa (hanya) pada hari Asyura. Sila rujuk niat puasa hari Tasu'a dan hari 'Asyura.

    Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    “Kalau aku masih hidup sampai ke tahun akan datang, nescaya aku akan berpuasa pada Hari Tasu`a. (Namun baginda wafat terlebih dahulu)” (Riwayat Muslim)
  • Puasa Dalam Bulan Syaaban

    Sesuai dengan kedudukan bulan Syaaban sebelum bulan Ramadan, puasa sunat di bulan Syaaban merupakan peluang baik untuk melatih diri berpuasa sebelum Ramadan tiba.

    Aisyah RA berkata:

    “Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Bulan Syaaban juga merupakan peluang terakhir untuk mengganti puasa Ramadan tahun lepas.

  • Puasa 6 Hari Dalam Bulan Syawal

    Bulan Syawal yang datang selepas Ramadan menawarkan peluang yang baik untuk meneruskan tabiat baik yang diamalkan sepanjang Ramadan.

    Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh disamakan dengan berpuasa sepanjang tahun [10 bulan (Ramadan ) + 2 bulan (puasa enam) = 12 bulan].

    Sabda Rasulullah SAW:

    “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim)

    Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW:

    “Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun.” (Hadis riwayat al-Darimi)
  • Puasa Hari Arafah - 9 Zulhijjah

    Bagi mereka yang tidak melaksanakan haji, berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijjah adalah digalakkan. Terutamanya pada Hari Arafah yakni pada 9 Zulhijjah.

    Rasulullah ketika ditanya tentang puasa pada hari Arafah bersabda:

    “Diampunkan dosa setahun lalu dan setahun akan datang.” (Riwayat Muslim, Tirmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi).

    Pada Hari Arafah, jemaah haji melaksanakan rukun haji yang kedua iaitu wukuf di Padang Arafah, yang merupakan kemuncak ibadah haji.

    Arafah (di Jabal Rahmah) merupakan tempat Nabi Adam AS dipertemukan semula dengan Siti Hawa AS setelah terpisah selama dua ratus tahun selepas mereka dikeluarkan dari syurga.

    Selain hari puasa sunat, Hari Arafah juga merupakan hari mustajab doa.


Masa Niat Puasa Sunat

Berbeza dengan puasa fardu, puasa sunat tidak disyaratkan menetapkan niat puasa pada malam hari sebelumnya. Namun ia diberi keluasan sehingga sebelum tergelincir matahari pada siang hari.

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, beliau berkata maksudnya:

Pada suatu hari, Rasulullah SAW berkata kepada aku, “Wahai Aisyah, adakah kamu mempunyai sesuatu (untuk dimakan)?” Aishah berkata, “Wahai Rasulullah, kita tidak mempunyai apa-apa.” Baginda bersabda: “Maka sesungguhnya aku berpuasa.” (Riwayat Muslim)


Hari-hari Makruh Puasa

Berikut adalah hari-hari yang dimakruhkan puasa:

  • Puasa pada hari Jumaat sahaja, Sabtu sahaja atau Ahad sahaja yakni tanpa berpuasa sebelum atau selepas hari berkenaan.

    Walau bagaimanapun, tidak makruh mengerjakan puasa semata-mata Jumaat, Sabtu atau Ahad sekiranya hari-hari tersebut disunatkan puasa seperti Hari Asyura atau Hari Arafah, atau bagi mereka yang megerjakan puasa sunat Nabi Daud AS (berpuasa selang sehari) atau bagi mereka yang mengerjakan puasa Qadha atau puasa nazar.

  • Puasa pada hari Ahad sahaja
  • Puasa pada hari Arafah bagi orang yang mengerjakan haji
  • Puasa sepanjang tahun (sepanjang masa)


Hari-hari Haram Puasa

Berikut adalah hari-hari yang diharamkan puasa:

  • Hari Raya Aidil Fitri (1 Syawal)
  • Hari Raya Aidil Adha (10 Zulhijjah)
  • Hari-hari Tasyriq (11, 12, 13 Zulhijjah)
  • Hari syak iaitu pada 30 Syaaban (kerana tidak pasti samada Ramadan sudah masuk atau belum)

Semoga maklumat hari-hari sunat, makruh dan haram berpuasa ini dapat membantu para pembaca membuat planning puasa sunat supaya ibadah yang menjanjikan ganjaran besar ini dapat dilakukan secara konsisten.