Permohonan Dan Semakan Status Pengeluaran i-Lestari Online

Cara mudah mohon dan semak keputusan pengeluaran i-Lestari KWSP secara online. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF) telah menyediakan satu kaedah baharu untuk memohon dan menyemak keputusan pengeluaran i-Lestari yang lebih senang dan pantas iaitu melalui i-Lestari Online.

Dengan kaedah baharu ini anda tidak lagi perlu mendaftar dengan i-Akaun (Ahli) KWSP terlebih dahulu, tidak perlu ID & kata laluan dan tak perlu berurusan dengan kod TAC. Prosesnya mudah, seakan sama dengan permohonan Permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

[Terkini] Bayaran pengeluaran bulan pertama i-Lestari akan dikreditkan secara berperingkat ke dalam akaun bank pemohon yang lulus mulai 4 Mei sehingga 18 Mei 2020.

Berikut kami kongsikan kaedah terkini untuk membuat permohonan serta membuat semakan keputusan permohonan online pengeluaran iLestari KWSP.

Cara Mudah Memohon Pengeluaran i-Lestari Online

Ikuti langkah-langkah berikut untuk memohon e-Pengeluaran i-Lestari:

permohonan baharu i-Lestari Online

  1. Layari laman i-Lestari Online KWSP di pautan berikut:

    https://ilestari.kwsp.gov.my

  2. Pilih “PERMOHONAN BAHARU".
  3. Isikan maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor MyKad, no. telefon bimbit, alamat e-mel, alamat rumah dan poskod. Sila pastikan semua maklumat diisikan dengan betul dan tepat.
  4. Pilih jumlah Amaun Dimohon Sebulan. Amaun ini merupakan bayaran bulanan berulang sehingga Mac 2021. Amaun maksimun ialah RM500 dan tertakluk kepada baki simpanan Akaun 2 semasa proses bayaran bulan berkenaan dibuat.
  5. Pilih bank dan masukkan nombor akaun bank (simpanan / semasa) anda yang aktif.
  6. Tanda pada kotak pengesahan pengakuan pemohon.
  7. Satu pop-up yang bertajuk “Perakuan Pemohon“ akan keluar. Baca dan fahami, kemudian tekan butang "SETUJU".
  8. Pop-up bertajuk “Pengesahan Maklumat“ akan keluar.

    Pastikan semua maklumat yang diisi adalah BETUL dan TEPAT, kemudian tekan butang “HANTAR" untuk menghantar permohonan.

  9. Paparan “Terima Kasih” akan keluar menandakan permohonan pengeluaran anda telah berjaya dihantar. Permohonan selesai.

Cara Semak Status Permohonan i-Lestari

Semakan status permohonan iLestari boleh dibuat dalam tempoh dua (2) hari selepas permohonan dikemukakan. Ahli yang memohon melalui i-Akaun, emel dan pos juga boleh membuat semakan dengan kaedah ini. Walau bagaimanapun permohonan melalui emel/pos akan mengambil lebih masa bagi proses pengesahan.

semakan permohonan i-Lestari Online

Berikut adalah langkah-langkah membuat semakan keputusan permohonan pengeluaran iLestari:

  1. Layari laman i-Lestari Online di pautan berikut:

    https://ilestari.kwsp.gov.my

  2. Pilih “SEMAK STATUS PERMOHONAN".

  3. Masukkan nombor MyKad, nombor telefon bimbit dan tekan “SEMAK”.
  4. Status permohonan iLestari anda akan dipaparkan bagi tujuan semakan.

Semoga panduan memohon pengeluaran dan menyemak keputusan permohonan i-Lestari KWSP secara dalam talian ini berguna untuk para pembaca.