Cara Kenali Scam Dan Elak Jadi Mangsa

Elakkan diri anda dari menjadi mangsa scammer. Kenali scam / penipuan dengan mengenali cara ia dilakukan (modus operandi) dan pelajari cara mencegahnya.

Di sini kami kongsikan senarai scam-scam popular di Malaysia serta penerangan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM tentang modus operandi setiap scam serta tips dan nasihat bagaimana orang ramai boleh mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan/scam tersebut.

Scam-scam berikut ialah Macau Scam, Tipu e-Dagang, Tipu SMS, Love Scam, Tipu Pelaburan, Pinjaman Tidak Wujud, Business Email Compromise (BEC) dan Phishing.

▣ MACAU SCAM

Modus Operandi

Berikut adalah modus operandi atau bagaimana cara penipuan Macau Scam dilaksanakan:

  1. Scammer/pemanggil menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai polis, penguatkuasa, pihak bank atau syarikat perkhidmatan.

    - Polis
    - LHDN
    - SPRM
    - Kastam
    - Mahkamah
    - Pos Laju

  2. Mangsa dikatakan terlibat dengan kes jenayah atau mempunyai tunggakan bayaran pinjaman bank, cukai dll.
  3. Mangsa diugut akan ditangkap dan didakwa. Mangsa diminta merahsiakan dari keluarga / rakan.
  4. Mangsa diarahkan menyerahkan maklumat bank atau membuat pindahan wang ke akaun yang lain bagi tujuan siasatan.

Tips & Nasihat

Cara mengelakkan diri dari menjadi mangsa sindiket Macau Scam:

  • Jangan layan panggilan telefon yang tidak dikenali.
  • Jangan biarkan pemanggil sambung talian untuk anda dan jangan hubungi nombor telefon yang diberi oleh pemanggil. Sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi balai, syarikat, organisasi atau institusi terbabit dan telefon sendiri untuk pengesahan.
  • Jangan panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil, tanpa terlebih dahulu menghubungi pihak polis atau institusi terbabit.
  • Beritahu pasangan, ahli keluarga atau rakan.
  • Jangan dedahkan maklumat perbankan (nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit, no. pin dll.) kepada mana-mana pihak.

▣ TIPU E-DAGANG (Jual/Beli Dalam Talian)

Modus Operandi

Berikut adalah modus operandi Tipu e-Dagang atau jual/beli online:

Mangsa adalah PEMBELI

  1. Mangsa melihat tawaran iklan di media sosial.
  2. Scammer/penjual menawarkan barang dengan harga jauh lebih murah dari harga pasaran.
  3. Mangsa membuat bayaran dan tidak terima barang yang dibeli.
  4. Mangsa juga gagal menghubungi scammer/penjual.

Mangsa adalah PENJUAL

  1. Mangsa dihubungi scammer/pembeli yang berminat untuk membeli barang jualan mangsa.
  2. Scammer/pembeli mendakwa telah terlebih membuat bayaran dan meminta mangsa memulangkan baki wang.
  3. Scammer/pembeli menunjukkan resit bank palsu untuk meyakinkan mangsa.

Tips & Nasihat

Cara mengelakkan diri dari tertipu:

  • Berhati-hati dengan tawaran 'Too Good To Be True' atau harga murah.
  • Pilih laman web yang dipercayai dan mempunyai jaminan keselamatan.
  • Semak review dan testimoni pengguna.
  • Bagi penjual, pastikan anda menyemak transaksi akaun bank anda untuk mengesahkan bayaran masuk. Jangan semata-mata percaya kepada resit yang ditunjuk pembeli.
  • Semak no. telefon / akaun bank di SEMAKMULE.

▣ TIPU SMS

Modus Operandi

Berikut adalah modus operandi Tipu SMS:

Menang Peraduan

  1. Mangsa terima SMS menang peraduan (Nestle, Boost dll).
  2. Mangsa diminta menekan pautan untuk ke laman web untuk menuntut hadiah.
  3. Mangsa diminta memasukkan butiran perbankan (nombor kad ATM, ID pengguna dan kata laluan).

Penggunaan Kad Kredit

  1. Mangsa terima SMS penggunaan kad kredit.
  2. Mangsa diminta menghubungi nombor telefon pada SMS.
  3. Mangsa bercakap dengan scammer dan diminta memberikan maklumat perbankan.

Tips & Nasihat

Cara mengelakkan diri dari tertipu:

  • Semak dengan syarikat berkaitan tentang peraduan tersebut.
  • Jangan beri maklumat perbankan kepada mana-mana pihak.
  • Hubungi bank melalui nombor di belakang kad ATM atau bank berhampiran anda.

▣ LOVE SCAM

Penipuan Cinta atau Love Scam merupakan penipuan yang lazimnya didalangi oleh warga Afrika. Love Scam adalah antara kaedah penipuan yang paling kerap digunakan kerana kaedah ini sangat berkesan dalam memerangkap mangsa.

Modus Operandi

Berikut adalah modus operandi atau kaedah penipuan Love Scam:

  1. Mangsa berkenalan dengan scammer melalui media sosial.
  2. Scammer akan menyamar sebagai askar, jurutera, ahli perniagaan yang tinggal di luar negara.
  3. Scammer akan memperdaya mangsa dengan:

    Penghantaran hadiah

    Mangsa diminta membuat pelbagai bayaran seperti cukai, denda dll untuk melepaskan barangan mewah dari luar negara yang disekat.

    Wasiat / Pelaburan perniagaan

    Mangsa diminta membuat bayaran bagi pihak scammer untuk mendapatkan wang yang dihantar dari luar negara.

Tips & Nasihat

Cara mengelakkan diri dari terpedaya oleh Love Scam:

  • Jangan mudah terpesona dengan gambar-gambar profil yang cantik/tampan yang digunakan di media sosial.
  • Berhati-hati dalam memilih rakan melalui laman sosial / alam maya terutamanya kenalan yang dikatakan daripada luar negara.
  • Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis rakan media sosial.
  • Jangan mendedahkan nombor akaun bank atau identiti diri dan keluarga kepada mana-mana individu yang anda tidak kenali atau baru kenali dari internet.
  • Jangan memberi pinjaman atau memasukkan wang ke dalam akaun individu yang tidak dikenali.
  • Maklum ahli keluarga / rakan sebelum membuat transaksi.
  • Semak dulu nombor telefon / akaun bank di SEMAKMULE.
  • Semak dengan pihak berkaitan.

kenali dan elakkan dari jadi mangsa scam

▣ TIPU PELABURAN

Modus Operandi

Berikut adalah modus operandi atau cara operasi Tipu Pelaburan:

  1. Mangsa melihat iklan pelaburan di media sosial atau ditawarkan melalui whatsapp.
  2. Mangsa menghubungi suspek dan ditawarkan pelaburan yang mudah, untung besar dan tidak akan rugi.
  3. Mangsa membuat transaksi ke akaun bank seperti yang diarahkan scammer.
  4. Mangsa kemudian gagal menghubungi scammer selepas pembayaran dibuat.

Tips & Nasihat

Cara mengelakkan diri dari terpedaya:

  • Jangan percaya kepada pelaburan dalam talian.
  • Semak dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum membuat pelaburan.
  • Elak pelaburan yang menawarkan pelaburan mudah, untung besar dan tidak akan rugi.

▣ PINJAMAN TIDAK WUJUD

Modus Operandi

Berikut adalah modus operandi atau kaedah penipuan Pinjaman Tidak Wujud:

  1. Mangsa melihat iklan pinjaman di media sosial.
  2. Mangsa ditawarkan dengan pinjaman yang...

    - mudah lulus
    - tanpa penjamin
    - mohon hari ini, esok lulus
    - yang disenarai hitam oleh bank pun boleh lulus

  3. Urusan hanya dalam talian dan mangsa tidak pernah berjumpa scammer.
  4. Mangsa diminta untuk membuat pelbagai bayaran (guaman, setem duti, yuran proses dll) untuk mendapatkan wang pinjaman.
  5. Mangsa tidak menerima wang pinjaman seperti dijanjikan dan scammer gagal dihubungi.

Tips & Nasihat

Berikut ialah cara mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan Pinjaman Wang Tidak Wujud:

  • Jangan mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pinjaman wang dengan tawaran kadar faedah yang rendah, proses permohonan pinjaman yang cepat tanpa syarat yang ketat atau tanpa memerlukan sebarang penjamin di media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Wechat, Instagram dan sebagainya.
  • Hadir sendiri ke institusi perbankan atau kewangan berlesen sahaja untuk membuat permohonan pinjaman wang.
  • Ingatlah bahawa tiada sebarang bayaran wang akan dikenakan sebelum permohonan pinjaman diluluskan. Semua bayaran yang dikenakan biasanya akan ditolak atau dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman keseluruhan.
  • Jangan sesekali memberikan maklumat diri dan akaun bank sama ada secara lisan, bertulis atau melalui apa-apa aplikasi kepada mana-mana orang yang tidak dikenali.
  • Jangan serahkan kad ATM kepada mana-mana pihak lain.
  • Jangan membuat pinjaman daripada syarikat atau institusi kewangan yang tidak berlesen.
  • Semak akaun bank atau nombor telefon yang diragui melalui SEMAKMULE.

▣ BUSINESS EMAIL COMPROMISE (BEC)

Modus Operandi

Berikut adalah modus operandi atau kaedah penipuan Business Email Compromise (BEC):

  1. Suspek menghantar emel yang menyerupai alamat emel rakan niaga mangsa.

    Contoh:

       Emel sebenar: thermo-comp@tc.com.my

       Emel suspek: therm0-compt@tc.cc

  2. Scammer akan meminta syarikat mangsa untuk membuat pembayaran ke akaun lain.
  3. Mangsa kemudian telah membuat bayaran ke akaun yang diberikan oleh scammer.
  4. Mangsa tersedar telah ditipu apabila rakan niaga menghubungi mangsa memaklumkan belum terima bayaran.

Tips & Nasihat

Cara mengelakkan diri dari tertipu:

  • Semak dengan teliti alamat emel yang diterima.
  • Hubungi rakan niaga melalui telefon/surat/faks untuk pengesahan.
  • Pastikan komputer di pejabat memasang dan sentiasa mengemaskini antivirus.

Orang ramai boleh melaporkan kepada Commercial Crime Investigation Department (CCID) Scam Response Center di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 jika mempunyai sebarang maklumat berkenaan mana-mana scam atau sindiket penipuan komersial.

Semoga maklumat mengenai modus operandi scam dan langkah pencegahan ini berguna buat para pembaca. Sentiasa berhati-hati kerana ramai penipu di luar sana. Beringat sebelum kena, jangan jadi mangsa seterusnya!

Sumber: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia - JSJK PDRM | Facebook